Masyarakat perniagaan Malaysia kini berada dalam keadaan keliru dan hilang keyakinan terhadap potensi perniagaan dan pelaburan negara akibat kelemahan pelaksanaan dasar kerajaan, kata Yang Dipertua Dewan Perrniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Syed Amin Al-Jeffri.

"Agenda kerajaan sekarang amat mengelirukan, kita umumkan dasar yang sangat baik tetapi pelaksanaannya lemah dan lembab. Tiada halatuju yang tepat, masing-masing dengan haluan sendiri," katanya dalam wawancara dengan malaysiakini baru-baru ini.

"Pelbagai projek diumumkan tetapi pelaksanaannya banyak tertangguh. Ini menimbulkan suasana tidak menentu. Kita perlu ingat bagi orang berniaga, suasana tidak menentu adalah suatu yang buruk," katanya.

Syed Amin menambah, dalam suasana iklim perniagaan yang tidak menyakinkan sekarang, sebahagian besar masyarakat perniagaan menganggap projek atau dasar yang diumumkan tidak lebih dari satu gimik atau janji-janji kosong sahaja.

"Pemimpin dan kerajaan perlu menunjukkan halatuju yang tegas serta melaksanakan segala projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dengan segera jika mahu memulihkan keyakinan para peniaga dan pelabur.

"Apa yang ditunggu-tunggu oleh kami sekarang ialah pelaksanaan projek yang mengikut jadual, maklumat yang tepat dan berwibawa," katanya lagi.

RMK9 tertangguh

Kelembapan projek-projek kerajaan ini, menurutnya, amat ketara apabila RMK9 sudah tertangguh hampir setahun dan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kelapan pula tidak dibelanjakan sepenuhnya.

"Sekarang kita ada kira-kira RM190 bilion hingga RM230 bilion untuk dibelanjakan dalam tempoh lima tahun ini bagi menggerakkan ekonomi. Diharapkan kali ini, dasar dan projek dilaksanakan mengikut jadual dan perancangan," tambahnya.

Syed Amin berkata, kerajaan juga perlu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap data-data ekonomi yang dikeluarkannya kerana seringkali penilaian pemimpin bertentangan dengan angka-angka yang diberikan.

"Statistik rasmi kerajaan sering tidak jelas. Kita kata ekonomi bertambah baik tetapi pada masa yang sama angka-angka yang dikeluarkan tidak menyokong dakwaan tersebut.

"Kita kata ekonomi makin kukuh tetapi sedarkan kita, jumlah siswazah penganggur mungkin telah melebihi 100,000 sekarang. Kadar pengangguran yang tinggi ini adalah satu isyarat bahawa ekonomi negara tidak berapa baik," ujarnya.

Menurut yang dipertua DPMMKL itu lagi, satu lagi masalah yang menyelubungi iklim ekonomi negara sekarang ialah "para peniaga merasakan diri mereka dihalau keluar dari negara ini."

Dengar kritikan

Katanya, sentimen sedemikian wujud ekoran kenyataan para pemimpin sendiri yang sering menyuruh para peniaga atau pelabur yang tidak berpuas hati dengan keadaan dalam negara supaya melabur di negara lain.

Menurut beliau, jika para peniaga dan pelabur merasakan mereka tidak diperlukan dan tidak dihargai di negara sendiri, akibatnya mereka tidak akan membawa balik keuntungan pelaburan mereka di luar negara.

"Kalau wang kita di luar negara tidak dibawa balik, siapa yang akan rugi?"

Syed Amin menegaskan, sudah sampai masanya bagi pucuk pimpinan kerajaan bersikap terbuka terhadap kritikan serta telus dalam penyebaran maklumat bagi mengembalikan keyakinan pelabur.

"Sepatutnya apabila peniaga atau pelabur mengkritik, suara mereka didengar, bukannya dipandang serong. Bila kita mengkritik, bukan bererti kita anti-kerajaan, (tetapi) kita mahu memberikan pandangan yang membina.

"Masalahnya sekarang pemimpin kita hanya mendengar pandangan orang tertentu sahaja. Sepatutnya mereka turun ke akar umbi. Kita takut kalau kerajaan tak boleh ditegur, nanti pelabur melarikan diri," jelasnya.