Kes perebutan mayat seorang lelaki India beragama Islam, antara keluarganya yang beragama Hindu dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah diselesaikan dengan baik- dia dikebumikan mengikut pengkebumian Islam di Gopeng, Perak malam tadi.

Pegawai Agama Islam Daerah Kuantan, Syarifuddin Aisa Osman berkata jenazah berkenaan yang diiringi anggota polis, dihantar ke Gopeng pada pukul 10.30 malam.

Beliau berkata Chandran Dharma Dass, 28, atau nama Islamnya, Mohamad Arfan Chandran, disahkan memeluk agama Islam pada 25 Feb 2001, di Pejabat Agama Islam Kemaman, Terengganu dan dia tidak pernah membuat sebarang penukaran agama lagi selepas itu.

"Berdasarkan perkara itu (tidak tukar agama), jelas menunjukkan arwah memang seorang Islam dan perlu dikebumikan cara Islam dan tidak boleh dipertikai oleh keluarganya atau pihak lain.

"Namun atas permintaan keluarganya yang ingin melihat jenazah berkenaan untuk kali terakhir, kita bersetuju membawanya ke Gopeng (tempat asalnya) untuk dikebumikan di sebuah perkuburan Islam di sana," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Syarifauddin Aisa berkata segala urusan memandi dan mengkafankan jenazah terbabit dilakukan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan sebelum dibawa ke Gopeng.

Katanya pengesahan sama ada untuk masuk atau keluar Islam perlu mendapat pengesahan daripada pihak agama Islam dan sehingga kini tiada sebarang permohonan keluar islam dibuat Mohamad Arfan selama ini.

Dalam kejadian semalam, jenazah seorang lelaki yang dipercayai mati akibat sakit jantung di rumah kawannya di Taman Anika Jaya, menjadi rebutan pihak JAIP dan keluarganya.

Justeru itu, beliau berharap mereka yang selesai membuat pendaftaran sebagai saudara baru segera memohon MyKad baru bagi mengesahkan agama masing-masing terutama bagi mengelak kekeliruan terutama selepas kematian mereka.

Hebah kepada keluarga

Menurutnya, ada baiknya jika tindakan memeluk agama Islam itu diberitahu kepada anggota keluarga namun kebebasan diberikan kepada mereka untuk merahsiakan atau sebaliknya.

"Kita tidak ada undang-undang atau peraturan khusus yang mewajibkan seseorang saudara baru itu memberitahu keluarganya bahawa dia telah memeluk agama Islam.

"Malah, kita sendiri (pejabat agama) tidak boleh memberitahu sesiapa mengenai perkara itu (masuk Islam) jika saudara baru mahu ia dirahsiakan," katanya.

Beliau berkata sejak 2004, terdapat tiga kes (termasuk kes semalam) melibatkan perebutan jenazah antara keluarga dan pejabat agama Islam di negeri itu.

Mengikut rekod JAIP, Chandran Dharma Dass telah memeluk Islam pada 2001, di Pejabat Agama Daerah Kemaman, Terengganu.

Perkara itu bagaimanapun disangkal oleh keluarga lelaki berkenaan yang mendakwa ia telah keluar Islam setelah niatnya untuk berkahwin dengan seorang gadis tidak berhasil selepas setahun memeluk Islam.

Sebelum ini dilaporkan bapa saudara lelaki berkenaan, Mohan Dass Muniandy, 56, berkata anak saudaranya pernah berkahwin pada 2004 dengan seorang gadis berketurunan Thai dan tidak mengikut cara Islam.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Pejabat Agama Islam Daerah Kemaman mengeluarkan Surat Akuan Masuk Islam secara berulang kali.

Katanya, pihaknya menerima surat akuan pertama dari pejabat itu semalam memberitahu nama anak saudaranya semasa memeluk Islam ialah Mohamad Arfan Chandran.

"Tetapi surat itu tidak mempunyai sebarang tandatangan pihak pejabat agama dan pagi ini kami menerima satu lagi surat di mana namanya telah dipadam dengan cecair pemadam dan ada nama baru di atasnya iaitu Mohamad Syahran Alif," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membawa kes tersebut ke mahkamah bagi mengetahui mengapa terdapat dua surat yang tidak seragam.

Lelaki berkenaan dipercayai mati akibat sakit jantung di rumah kawannya di Taman Anika Jaya, di sini pukul 2.55 pagi semalam dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.