PM pastikan tiada usaha rampas Islam di M'sia
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu memastikan tiada ikhtiar untuk "merampas" Islam di Malaysia bagi menyuburkan sikap kebencian dan tidak toleran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu memastikan tiada ikhtiar untuk "merampas" Islam di Malaysia bagi menyuburkan sikap kebencian dan tidak toleran.
Beliau yang juga Presiden Umno berkata, beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kumpulan, sama ada Islam atau bukan Islam, yang cuba melampaui garis perimbangan yang halus itu dengan mempersoalkan status Islam.
Tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap mereka yang menghasut orang ramai berdasarkan dakwaan palsu dan ancaman yang direkacipta, katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2006 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang menggalakkan kerjasama serta dialog dan tidak pernah menjadi tempat konflik dan syak wasangka.
"Saya ingin jelaskan Islam Hadhari bukanlah cek kosong untuk menghidupkan semula pendekatan konservatif. Islam Hadhari bukan juga cek kosong untuk kita membenarkan cara hidup yang terlalu bebas dan permisif," katanya.
Penyebaran SMS
Abdullah berkata, golongan yang sama juga melontarkan ancaman palsu untuk mengapi-apikan umat Islam dengan niat mereka akan menjadi tidak toleran terhadap orang lain.
Agenda mereka ialah untuk melihat Malaysia berpecah belah serta gagal sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, katanya.
Contohnya, katanya, banyak SMS yang bertukar tangan mengenai pembaptisan umat Islam secara beramai-ramai dan penubuhan Persatuan Kristian Melayu.
Malah, ada juga yang mendakwa memiliki bukti kononnya beribu-ribu orang Melayu telah murtad tanpa mempunyai bukti yang sahih.
Beliau berkata ramai orang Melayu menjadi ghairah, marah, malah menjadi militan ekoran mereka tidak menyelidiki kesahihan khabar seperti itu.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.