Penyokong Dr M di Kubang Pasu terima SMS ugutan
Ahli Umno bahagian Kubang Pasu yang merupakan penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang diserang oleh orang tidak dikenali Sabtu lalu, Ismail Taib menerima mesej ugutan dari Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pula pada Selasa lalu.
Ahli Umno bahagian Kubang Pasu yang merupakan penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang diserang oleh orang tidak dikenali Sabtu lalu, Ismail Taib menerima mesej ugutan dari Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pula pada Selasa lalu.
SMS tersebut berbunyi: " Datuk Johari Baharom kata di KL pagi ini dia boleh tamatkan awak dengan belanja sikit saja, timbalan menteri ini tahulah jangan nak ek..."
Johari adalah Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan juga Ketua Umno bahagian Kubang Pasu.
Johari ketika ditanya mengenai perkara itu berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai SMS tersebut.
Katanya, sesiapa sahaja pun boleh menghantar SMS seumpama itu dengan membabitkan namanya.
Sementara itu, Ismail telah membuat laporan polis berhubung mesej ugutan itu di Balai Polis Jitra jam 5.30 petang semalam.
Ismail, 40, seorang peniaga, yang ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang ini mengesyaki mesej itu dihantar oleh orang-orang yang tidak menyenangi tindakannya menyokong Dr Mahathir dalam pemilihan perwakilan bahagian Kubang Pasu pada September lalu dan membuat aduan politik wang dan salahlaku dalam proses pemilihan berkenaan kepada Lembaga Disiplin Umno baru-baru ini.
"Identiti penghantar mesej tidak diketahui...mungkin mereka guna telefon prabayar...Saya syak mereka nak takut-takutkan saya. Saya tak fikir ada sebab lain kerana saya tiada musuh atau masalah kewangan dengan sesiapapun," katanya kepada malaysiakini.
Ismail adalah Ketua Pemuda Umno cawangan Kampung Biak, dekat Jitra dan merupakan salah seorang perwakilan ke mesyuarat bahagian Kubang Pasu September lalu.
Mesej ugutan itu adalah tindakan keras kedua yang menimpa Ismail sejak beliau membuat aduan politik wang dan salah laku berkenaan. Minggu lalu beliau diserang oleh tiga orang yang tidak dikenali di hadapan rumahnya.
Lembaga disiplin
Beliau juga mengesyaki kejadian pertama ini mempunyai kaitan dengan aktiviti dan pendirian politiknya.
Ismail adalah salah seorang daripada lima anggota Umno Kubang pasu yang membuat laporan kepada lembaga disiplin pada bulan lalu.
Menurut Ismail, di dalam laporannya itu beliau membangkitkan tindakan Umno bahagian tersebut mengadakan perhimpunan di Kelab Golf Darul Aman Jitra untuk berkempen.
Beliau mendakwa tindakan yang turut membabitkan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff itu melanggar peraturan berkempen yang ditetapkan oleh parti.
Dalam pemilihan perwakilan Kubang Pasu itu bekas Perdana Menteri yang turut bertanding telah gagal apabila hanya berjaya menduduki tempat kesembilan dengan meraih 227 undi. Bagaimanapun anaknya Datuk Mukhriz terpilih apabila menduduki tempat kelima.
Ekoran kekalahanya itu, Dr Mahathir mendakwa berlaku rasuah politik dan pelanggaran peraturan dalam kempen di bahagian tersebut.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.