Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes SMS murtad: Polis edar gambar "Raja Sherina"
Diterbitkan:  Nov 20, 2006 7:11 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Polis Perak hari ini mengedarkan gambar seorang wanita dikenali sebagai "Raja Sherina" yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes penyebaran SMS yang mendakwa sekumpulan orang Melayu akan dikristiankan di sebuah gereja di Ipoh pada 5 November lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Abdul Aziz Bulat berkata pendedahan gambar itu dibuat berikutan kegagalan wanita berusia lingkungan 40-an yang dipercayai dari Sungai Petani, Kedah, untuk menghubungi polis selepas dia diminta berbuat demikian Rabu lepas.

"Wanita ini kita percaya sedang bersembunyi dan masih lagi berada di dalam negara," katanya kepada pemberita di Ipoh.

Abdul Aziz berkata polis gagal menemui wanita itu di kediamannya di Sitiawan dan Sungai Petani.

Gambar sisi wanita berkulit gelap dan bertudung hitam itu dipercayai diambil daripada salinan rakaman video cakera padat pengakuan dan pertemuannya dengan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Harussani menyerahkan salinan rakaman itu kepada polis selain kepada Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

"Kejadian pada 5 November lepas menimbulkan kegelisahan pada orang ramai. Jadi apa yang penting wanita itu mesti tampil dan beri penjelasan dan bukti," katanya.

Ketika ditanya kemungkinan wanita itu digunakan oleh pihak tertentu, Abdul Aziz berkata ada banyak perkara berhubung kes itu yang perlu dikaji dan disahkan terlebih dahulu.

"Polis akan siasat semua. Kita akan kaji sama ada kemungkinan terdapatnya muslihat, agenda, atau adakah terdapat perkara tersembunyi dan semua itu ada sebabnya. Dalam konteks siasatan polis, kita perlu menyiasat dari pelbagai aspek dan skop," katanya.

Abdul Aziz meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat berkaitan "Raja Sherina" supaya menghubungi Pegawai Turus D9 DSP Shahdan Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) di talian 05-520 39 66 atau 05-245 12 22.

Orang ramai juga boleh hubungi Rakan Cop IPK Perak di talian 05-240 19 99.

Pada 5 November, lebih 500 umat Islam dan juga wakil beberapa pertubuhan berkumpul di hadapan sebuah gereja di Silibin, Ipoh selepas tersebar SMS menyatakan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor akan mengkristiankan sejumlah orang Islam.

Dalam SMS itu, nama Mufti Perak dikaitkan sebagai pihak yang mengesahkan akan berlaku upacara pembaptisan itu, dan pada 12 November lepas, Harussani berkata pendedahan mengenai upacara berkenaan telah dibuat oleh wanita berkenaan yang mengirimkan SMS kepadanya selain datang berjumpa beliau.

Azhar telahpun menjelaskan bahawa beliau adalah seorang Islam dan tidak ada kaitan dengan upacara itu.

ADS