Dialog meja bulat PKR bincang isu agama
Majlis dialog meja bulat tertutup anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam telah memberi peluang kepada para peserta dari parti politik, badan bukan kerajaan, aktivis dan individu untuk berbincang secara terbuka mengenai isu hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
Majlis dialog meja bulat tertutup anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam telah memberi peluang kepada para peserta dari parti politik, badan bukan kerajaan, aktivis dan individu untuk berbincang secara terbuka mengenai isu hubungan antara kaum dan agama di negara ini.
Seorang persertanya, Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin berkata, isu-isu yang dibincangkan sudah lama menjadi agenda utama JIM dan kehadirannya dalam dialog tersebut adalah untuk mendapat pandangan pihak lain mengenainya.
Bagaimanapun, katanya isu mengenai kebebasan, ketelusan, undang-undang dan demokrasi, terutama membabitkan umat Islam, penting dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia.
Sehubungan itu, katanya, majlis dialog sedemikian rupa perlu diadakan dari masa ke semasa bagi memberi lebih ruang kepada umat Islam di negara ini mengikutinya.
"Dalam masyarakat berbilang keturunan dan berbilang agama seperti Malaysia, orang Islam perlu mengetahu hak mereka, selain pendirian yang boleh diambil oleh kumpulan Islam terhadap demokrasi dan kebebasan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan dasar dan memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut yang berlangsung di Petaling Jaya, semalam.
Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan beberapa individu lain hadir sama.
Isu sensitif
Majlis dianjurkan bersama badan bukan kerajaan (NGO) Jerman, Friedrich-Naumann Stiftung. Bagaimanapun, Sister In Islam (SIS) dan peguam, Abdul Malik Imtiaz yang turut diundang, tidak hadir
Zaid yang menghadiri dialog tersebut sehari suntuk berkata, fokus perbincangannya ialah masalah yang membabitkan orang Islam di negara ini serta langkah dan pendirian yang boleh diambil untuk mengatasinya.
"Kita tidak menyentuh isu-isu yang negatif dan sensitif sebaliknya membabitkan masalah umat Islam yang berlaku pada hari ini di Malaysia," katanya.
Majlis tersebut dibahagikan kepada beberapa sesi perbincangan termasuk kebebasan dan penubuhan kerajaan yang baik dan bolehkah gerakan Islam memantapkan demokrasi dan kebebasan dan kepelbagaian di Malaysia.
Selain itu ia turut membincangkan mengenai Negara Islam dan perjalanan Undang-undang dan mungkinkah kerajaan demokratik wujud dalam Negara Islam.
Naib Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang hadir sama dalam dialog tersebut berkata, mahkamah perlembagaan perlu diwujudkan bagi menyelesaikan masalah tertentu yang membabitkan orang Islam dan bukan Islam.
"Ada cadangan supaya orang bukan Islam diberi hak di Mahkamah Syariah tetapi adakah orang Islam akan mendapat keadilan di mahkamah bukan Islam?
"Perebutan mayat di antara orang Islam dan bukan Islam tidak memberi imej baik dan saya mencadangkan perkara tersebut diselesaikan Mahkamah Perlembagaan," katanya.
Keazaman politik
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin berkata, pelbagai isu telah dibincangkan secara panjang lebar dan terbuka.
Katanya, perbincangan tersebut perlu dibuat tanpa sebarang syarat dengan orang ramai boleh mengemukakan pandangan masing-masing tanpa takut dan was-was.
Seorang perwakilan yang enggan namanya disiarkan berkata, apa yang kerajaan perlu buat ialah mesti berasaskan kepada masyarakat Malaysia yang pelbagai.
"Undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk memaju dan mengekalkan perpaduan, sebaliknya ia juga memerlukan keazaman politik dari pemerintah," katanya.
Beliau menegaskan jika kerajaan gagal menangani masalah pertembungan agama, ia boleh menyebabkan berlakunya ketegangan antara kaum di negara ini.
Sementara itu, Anwar ketika bercakap kepada wartawan selepas persidangan tersebut berkata, PKR membuka ruang seluas-luasnya kepada parti politik, NGO dan orang ramai untuk menganjurkan majlis dialog mengenai kebebasan, keadilan dan ketelusan, terutama mengenai isu yang membabitkan agama Islam di negara ini.
Katanya, forum seperti ini sangat penting kepada mereka kerana dalam masyarakat majmuk di Malaysia, mereka tidak dapat lari dari hubungan antara umat Islam dan bukan Islam.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.