Teras Pengupayaan Melayu (Teras) melahirkan kekhuatiran terhadap sikap liberal yang hendak ditonjolkan oleh pihak tertentu dalam urusan mencegah kemungkaran.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pemikiran liberal seperti inilah yang mahu diketengahkan oleh golongan yang selama ini berpendapat 'pengawalan moral' tidak perlu dilaksanakan.

"Tuduhan ke atas jabatan agama sebagai 'ala taliban' dan kata-kata seperti 'over-zealous officials' kerap tercetus dari bibir dan pena golongan yang dikatakan mahu Islam yang lebih progresif," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang mengatakan pegawai penguatkuasa jabatan agama Islam tidak perlu lagi melakukan serbuan di hotel atau rumah dalam usaha mencegah maksiat.

Dr Mohd Asri, sebelum ini dilaporkan berkata, jabatan agama Islam patut menghentikan intipan dan menahan orang yang berkhalwat di hotel berdasar kepada maklumat yang tidak jelas bagi mengelak kesilapan.

Sebaliknya, kata beliau, jabatan berkenaan patut menumpukan perhatian pada usaha pencegahan kemungkaran yang berlaku secara terang-terangan seperti minum arak dan berjudi.

Mohd Azmi berkata, pihaknya juga terkejut dengan pandangan Dr Mohd Asri yang sanggup membandingkan bidang kuasa jabatan agama Islam dalam kerja menyerbu premis orang yang disyaki melakukan maksiat dengan mengintai jika ada suami isteri yang tidak solat di rumah.

"Apakah tujuannya Dr Asri mengaitkan soal soal mencegah orang bermaksiat dengan orang tidak solat di rumah. Kenapakah begitu jauh beliau hendak kaitkan tanggungjawab ini sedangkan jabatan agama Islam tidak boleh melaksanakan tugas di luar bidangkuasanya," soal beliau.

Azmi menambah, kenapa pula tanggungjawab dan bidang kuasa jabatan agama Islam yang jelas tertera dalam Enakmen dan peraturan Hal Ehwal Islam kini bahan perdebatan?

Beliau bertanya, bukankah antara fungsi penting ialah menguatkuasakan undang-undang seperti yang telah diputuskan oleh Dewan Undangan Negeri.

"Memang betul setiap agensi perlu menggunakan kebijaksanaan dalam bertindak terutama dalam hal yang berkaitan dengan kepentingan awam, tetapi menekannya supaya tidak bertindak seperti yang diperuntukan dalam undang-undang adalah perbuatan yang mempersoalkan undang-undang itu sendiri," katanya lagi.

Menurutnya, jika ada garis panduan yang tidak diikuti ketika melaksanakan undang-undang, yang perlu dilakukan ialah memperbetulkan tindakan pegawai berkenaan dan bukannya mempersoalkan kenapa melaksanakan penguatkuasaan undang-undang tersebut.

Sehubungan itu, kata Mohd Azmi, pihak-pihak yang terus melobi dan menyokong supaya jangan wujud 'polis moral' atas alasan kebebasan individu sebenarnya mahu menjadikan hukum Islam hanya hukum peribadi dan tidak melewati medan masyarakat.

Katanya, jika jabatan agama tidak boleh melaksanakan siasatan setelah dilaporkan masyarakat dan membuat serbuan walaupun mendapat maklumat sahih, apakah cawangan khas polis juga terlibat sama.

"Kami juga ingin bertanya benarkah terlalu banyak serbuan dan penangkapan terhadap pasangan yang membuat maksiat tidak dilakukan berasaskan maklumat tetapt dan tidak mengikut garis panduan," katanya.