Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau mendakwa, kegiatan berleluasa pembalakan haram dipercayai telah mengakibatkan kejadian banjir yang tidak terkawal, terutama di daerah Segamat yang menjejaskan ribuan penduduknya.

Selain hujan lebat, katanya, salah pengurusan alam sekitarnya juga merupakan antara punca utama kejadian banjir yang teruk sekarang.

Katanya, Jabatan Perhutanan dan kerajaan negeri sepatutnya menyedari kesan pemusnahan kawasan hutan yang boleh mengakibatkan banjir.

Hutan hujan tropikal, jelasnya, boleh menampan hujan lebat dan sekaligus menghalang atau meminimakan kejadian banjir.

"DAP Johor baru sahaja membangkitkan kepada Jabatan Perhutanan bulan lalu mengenai gajah-gajah liar yang berkeliaran di sekitar Bekok, di daerah Labis," kata Dr Boo dalam satu kenyataan semalam.

Kumpulan gajah liar tersebut, katanya, telah memusnahkan banyak tanaman penduduk kerana kawasan kehidupan semulajadi mereka di Taman Negara Endau Rompin, dekat Bekok telah diganggu.

Projek perumahan

"Kami telah diberitahu bahawa terdapat kegiatan pembalakan haram secara besar-besaran di kawasan hutan dekat Bekok di mana terdapat beberapa anak sungai yang mengalir melalui bandar Segamat menuju ke Sungai Muar, sejak dua tahun lalu.

"Kami telahpun memaklumkan pihak berkuasa mengenai bahaya kegiatan pembalakan haram secara besar-besaran itu yang mengakibatkan hidupan luar kehilangan tempat tinggal mereka, tetapi tiada tindakan diambil," katanya.

Manakala kawasan lain di Selatan Johor, tambahnya, termasuk bandaraya Johor Bahru, Kulau dan Sekudai sering mengalami banjir kilat sejak satu dekad yang lalu akibat projek perumahan yang tidak dipantau serta sistem perparitan yang ketinggalan zaman.

Kebanyakan projek pembangunan perumahan, katanya, tidak mempunyai 'perangkap kelodak' bagi menakung hujan lebat dan kemudiannya disalirkan ke sistem perparitan biasa untuk mengelak banjir kilat.

Akibat semua masalah di atas, katanya, rakyat Johor telah menjadi mangsa banjir yang paling buruk dalam sejarah.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri perlu menyemak semula dasar-dasarnya berkaitan dengan pengurusan alam sekitar , pemantauan projek perumahan serta menaik taraf sistem perparitan di Johor.