Restoran India Muslim atau 'mamak' dulu hanya dianggap sebagai satu perniagaan kecil. Hidup matinya tidak mendatangkan kesan kepada ekonomi negara.

Tetapi kini presepsi masyarakat terhadap restoran mamak sudah berubah. Kini ia dianggap sebagai sebuah industri, salah satu cabang penting dalam sektor perkhidmatan negara.

Rangkaian restoran mamak kini menjadi salah satu penjana ekonomi dan menawarkan ribuan peluang pekerjaan.

Sesuai dengan peredaran masa, pengendalian restoran mamak juga dijalankan secara teratur dan profesional. Rangkaian Restoran Pelita, Restoran Kayu Nasi Kandar, Restoran Kampung Pandan, Restoran Mydin dan pelbagai nama lagi boleh dijumpai di seluruh negara.

Menyedari peranan mereka yang semakin besar dan bagi melindungi kebajikan mereka, pengusaha-pengusaha restoran mamak telah menubuhkan sebuah persatuan bagi menyatukan tenaga, idea dan mementuk jaringan perniagaan 'mamak'.

Seramai 7,000 pengusaha menjadi ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PPRM).

Presidennya, Jamarulkhan Kadir berkata, terdapat kira-kira 15,000 restoran mamak di seluruh negara dengan sebahagian besarnya tertumpu di bandar utama di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan Johor Bahru tetapi setakat ini baru separuh menjadi ahli PPRM..

Urusniaga RM4 bilion

"Rangkaian restoran mamak di seluruh negara menjana urusniaga kira-kira RM4 bilion setahun dan perniagaan ini berkembang pada kadar 10 peratus setiap tahun," katanya.

Menurutnya, rahsia kejayaan restoran mamak ialah kelainan makanan yang disaji dan perkhidmatan yang pantas.

"Makanan yang kami sajikan adalah 'original', mengadun resepi makanan India dengan selera masyarakat Malaysia. Itu sebab semua kaum mengunjungi restoran mamak.

"Mutu perkhidmatan yang disediakan pula amat berkesan. Kami mengutamakan pelanggan. Oleh itu, servis mesti pantas. Bagi kami, pelanggan ada raja. Ini lah rahsianya,. sangat mudah," jelas beliau.

Dari segi tenaga kerja pula, berliau berkata, rangkaian restoran mamak mempunyai kira-kira 100,000 pekerja ketika ini.

Menurut Jamarulkhan, perkembangan yang memberangsangkan ini memberi peluang peniagaan dan pekerjaan yang besar kepada rakyat negara ini, khususnya orang Islam.

Bagaimanapun, beliau kecewa kerana terlalu sedikit orang Melayu atau orang Islam yang mahu merebut peluang perniagaan atau berkerja dengan restoran mamak.

Menolak tuah

"Malangnya, orang Melayu tidak mahu mengambil peluang menjadi pembekal atau pekerja dengan restoran India Muslim ini," katanya kepada malaysiakini baru-baru ini.

"Mungkin ramai beranggapan restoran mamak hanya berniaga sesama India Muslim sahaja sedangkan kami berniaga dengan sesiapa sahaja dan sebahagian besar pembekal utama kami sekarang ialah orang bukan Islam," ujarnya.

Beliau berharap orang Melayu akan mengorak langkah berkerjasama dengan pengusaha-pengusaha India Muslim

Jamarulkhan berkata, peniaga Melayu itu sebagai menolak tuah kerana jumlah usrusniaga dan bahan mentah yang diperlukan oleh sebuah restoran mamak setiap hari sangat besar.

"Bayangkan ahli kami di seluruh negara kira-kira 7,000 orang dan kebanyakan mereka mempunyai lebih dari sebuah restoran. Sebuah restoran membelanjakan RM1,000 sehari untuk bahan mentah dan barangan lain.

"Cuba kira berapa banyak keuntungan yang boleh diperolehi oleh peniaga Melayu..... tetapi ramai yang tidak merebut peluang tersebut," katanya lagi.

Katanya, pembekal Melayu boleh membekalkan keperluan harian seperti daging, ikan, sayur-sayuran dan sebagainya kepada pengusaha restoran mamak.

Monopoli pekerja India

Selain itu, dari aspek pekerjaan juga, jumlah orang Melayu yang berkerja di rangkaian restoran terlalu sedikit. Sebaliknya restoran-restoran mamak dimonopoli penuhi oleh pekerja berasal dari India.

Apabila diajukan persoalan ini kepada Jamarulkhan, beliau menjelaskan, senario itu berlaku kerana sikap orang Melayu sendiri.

Menurutnya orang tempatan khususnya Melayu enggan berkerja sebagai pelayan atau tukang masak di restoran mamak.

"Kami memerlukan ramnai pekerja, kini terdapat hampir kira-kira orang berkerja di ranagkain restoran mamak di seluruh negara sebagai tukang masak, pembuat roti canai, pelayan dan penjaga kaunter.

"Tetapi terlalu kurang orang Melayu yang berminat dan ini memaksa kami mencari pekerja dari India," ujarnya.

Menurut beliau, antara alasan mengapa orang Melayu enggan bekerja di restoran mamak ialah faktor gaji dan keadaan tempat kerja.

Mereka mendakwa gaji murah, meletihkan dan tidak kurang juga kerana malu. Jamarulkhan bagaimanapun menafikan gaji di restoran mamak kecil kerana menurutnya para pekerjanya mendapat RM650 hingga RM1,200 sebulan.

Masa kerja panjang

Beliau juga menegaskan, mungkin dari segi angka ia nampak kecil tetapi mereka diberi makan dan tempat tinggal percuma.

Jamarulkhan menambah lagi, orang Melayu tidak mahu bekerja di restoran mamak kerana tidak tahan dengan masa kerja yang panjang dan meletihkan.

"Mereka tidak mahu menjadi tukang masak kerana tidak tahan dengan panas. Mereka juga enggan menjadi pelayan kerana malu kepada rakan-rakan yang datang," jelasnya.

Beliau berkata, meskipun ada sebilangan kecil orang Melayu yang sanggup berkerja di restoran mamak, ia hanya sementara sebelum mendapat pekerjaan lain.

"Mereka lebih gemar mencari pekerjaan dalam sektor perkilangan kerana suasana kerja yang selesa, selain mendapat lebih banyak kemudahan seperti cuti, bonus, gaji yang lebih mahal dan lain-lain lagi," katanya.

Menurut beliau lagi, seboleh-bolehnya pengusaha mamak mahu pekerja tempatan kerana membawa masuk pekerja asing banyak kerenah birokrasinya selain kosnya tinggi.

"Untuk mendapat pekerja dari India kami terpaksa membayar permit kerja dan tambang pengangkutan setiap tahun. Ini satu kos yang tinggi," katanya.

Esok: Asal usul masyarakat mamak