Amaran tsunami kepada penduduk Sabah

Penduduk di Sabah terutamanya di Sabah Selatan dan Sabah Timur dinasihatkan tidak menghampiri pantai sehingga jam 11.30 malam ini berikutan amaran tsunami.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan pada jam 9.40 malam ini berkata satu gempa bumi berskala 7.6 Richter telah berlaku di utara Laut Molucca, Indonesia pada jam 7.27 malam ini, demikian menurut laporan Bernama.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) dan Agensi Meteorologi Jepun (JMA) telah mengeluarkan amaran tsunami di lokasi pusat gempa di Laut Molucca yang terletak di latitud 1.2 Utara, longitud 126.3 Timur, 973 kilometer ke tenggara Tawau, Sabah.

Sehingga kini telah berlaku enam gegaran susulan.

Dalam pada itu, Polis Daerah Sandakan dan Lahad Datu turut mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada semua penduduk yang tinggal di pesisir pantai berikutan kejadian gempa bumi itu.

Jurucakap Bilik Gerakan Polis Daerah Sandakan ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya telah memaklumkan kepada semua balai polis di sekitar daerah itu terutama di pulau-pulau dan di pesisir pantai untuk mengeluarkan amaran berjaga-jaga kepada penduduk kampung.

Amaran berjaga-jaga

Sementara itu, jurucakap Bilik Gerakan Polis Daerah Lahad Datu berkata semua anggota polis peronda sudah dihantar ke kawasan perkampungan berhampiran pantai untuk memaklumkan kepada penduduk mengenai amaran berjaga-jaga itu.

Di Tawau, keadaan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan pihak polis bersiap sedia untuk bertindak bila diperlukan, kata Ketua Polis Daerah ACP Idris Jikun.

Pihak polis juga sedang memantau keadaan terutamanya di kawasan pantai dan perairan sekitar bandar, katanya kepada Bernama malam ini.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penduduk di Kg Titingan yang terletak di tepi pantai berhampiran bandar Tawau, di pantai Timur negeri ini kini berkumpul di masjid di kampung itu.

Buat masa ini cuaca di Tawau baik dan laut tenang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna DSP Abdul Latif Abdullah berkata pihaknya sudah bersiap sedia dan akan memasang amaran awal di masjid di pekan yang terletak di pantai Timur Sabah itu.

Penduduk kampung yang rumah mereka berada di pesisiran pantai dan berhampiran pekan itu juga sudah mula berkumpul di masjid menyebabkan pekan itu lengang, katanya.

Bagaimanapun, amaran Tsunami untuk kawasan pantai Sabah yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia itu ditamatkan pada 11.30 malam ini.

Jabatan itu berkata ini berikutan tiada kejadian tsunami dikesan susulan daripada gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter pada jam 7.27 malam di utara Laut Molucca, Indonesia

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.