Peserta protes dakwa cedera dibelasah polis

Soon Li Tsin dan Kuek Ser Kuang Keng        

Empat orang yang tercedera sewaktu protes membantah kenaikan tol di plaza tol Batu 11 Cheras semalam, mendakwa pihak polis telah menggunakan kekerasan yang berlebihan terhadap mereka dan ia dibuktikan dengan kecederaan yang mereka alami.

Ho Chee Loong, 28, (kiri) memberitahu satu sidang akhbar di pejabat DAP Petaling Jaya hari ini bahawa pegawai polis yang berpakaian biasa telah menumbuk, menendang serta memegangnya dengan kasar (foto bawah).

"Saya dan adik lelaki saya sedang duduk di tebing jalan menunggu arahan daripada Pengerusi (Tan Boon Wah) Jawatankuasa (Jalan Akses Bandar Mahkota Cheras) apabila polis memberitahu kami supaya bersurai dalam masa lima minit," katanya.

"Dalam masa kurang dari seminit, mereka manangkap dan menggari tangan saya ke belakang. Kemudian pegawai polis berpakaian biasa menendang kelangkang saya, menumbuk dada saya dan menggunakan cota untuk merodok saya. Saya kemudian ditarik masuk ke dalam trak polis," katanya.

Chee Loong menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kajang dan diberi cuti sakit selama tiga hari akibat kecederaan yang dialaminya.

Katanya, beliau bimbang mengenai kemungkinan mengalami kecederaan dalaman akibat dipukul kerana dia kini mengalami kesukaran bernafas.

Ho menunjukkan tanda-tanda merah lebam di pergelangan tangannya, dada dan pinggangnya. Tanda jari juga dapat dilihat di bahagian lebam di lehernya.

Dia adalah antara 21 orang ditangkap dalam protes semalam. Yang lainnya termasuk Ketua Penerangan, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua; pemimpin PAS, Dr Hatta Ramli dan pemimpin DAP, Ronnie Liu.

Bantahan terhadap kenaikan kadar tol itu dianjurkan oleh Protes gabungan parti pembangkang, badan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan kumpulan pelajar. Dr Hatta adalah setiausaha gabungan tersebut.

Tidak sampai 100 orang berhimpun di dua lokasi di tol plaza bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap kenaikan kadar tol.

Ketua Polis Kajang, ACP Rosli Mohd Nizam meminta mereka bersurai dengan alasan ianya adalah perhimpunan haram walaupun protes tersebut belum dimulakan. Kira-kira 80 anggota polis berada di situ.

Mereka diberi masa lima minit untuk beredar dari situ, tetapi selepas kira-kira tiga minit baru berlalu, anggota polis sudah mula bertindak. Anggota Unit Simpanan Persekutuan turut membantu menyuraikan orang ramai.

Klip video

Abang Ho, seorang juruteknik penghawa dingin --Chee Hui, 27, (foto, tengah) turut mengalami kecederaan apabila dia juga ditahan sewaktu cuba membantu abangnya itu.

Turut mengalami lebam-lebam ialah Pengerusi DAP Sungai Long, Tan Han Kuo, 40, dan Boon Wah, 37 (foto, kanan dan bawah).

Wartawan juga ditunjukkan klip video yang menunjukkan mereka yang menyertai protes tersebut dikendalikan dengan kasar oleh anggota polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak.

Paling jelas ialah Chee Loong yang melaungkan, "Mengapa kami ditangkap? Kami tidak melakukan sebarang kesalahan". Selepas dia dimasukkan ke dalam trak polis, seorang pegawai berbaju baru kelihatan menumbuknya.

Turut hadir di sidang akhbar tersebut ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Lim berkata, sejurus selepas demonstrasi itu bermula, polis mula menahan dan memukul mereka yang menyertainya.

Katanya, polis menggunakan cota untuk memukul berulangkali di bahagian kepala dan badan mereka.

Katanya, ketika dibawa ke trak polis, mereka masih dipukul dari belakang walaupun mereka tidak melawan ketika ditahan.

Rosli menafikan mereka dipukul sambil berkata, polis terpaksa bertindak untuk meleraikan perhimpunan haram.

Beliau menyifatkanya sebagai satu prosedur biasa yang tidak dapat dielakkan apabila tangkapan dibuat.

Ia merupakan siri bantahan ketiga yang dianjurkan oleh gabungan tersebut sebagai membantah kenaikan kadar tol antara 20 hingga 60 peratus di lima lebuhraya di Lembah Klang mulai 1 Januari.

Dalam dua protes sebelum ini yang pertama di plaza tol bandar Sunway di lebuhraya LDP dua minggu lalu dan yang kedua di Gombak Ahad lalu pihak polis dipuji kerana berjaya mengawal dengan baik protes yang diadakan secara aman itu. Berita asal

Saksikan klip video

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In