Saksi: Kasitah arah akauntan dapatkan pembeli 16 juta saham
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu semalam bahawa Tan Sri Kasitah Gaddam mengarahkan seorang akauntan, bekas rakan kongsi Arthur Anderson, membeli 16 juta saham PPB OilPalms Bhd yang dibeli oleh bekas menteri itu daripada Briskmark Enterprise.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu semalam bahawa Tan Sri Kasitah Gaddam mengarahkan seorang akauntan, bekas rakan kongsi Arthur Anderson, membeli 16 juta saham PPB OilPalms Bhd yang dibeli oleh bekas menteri itu daripada Briskmark Enterprise.
Saksi kelima pendakwaan kes rasuah membabitkan Kasitah itu, Vincent Chia Ka Soon berkata Kasitah mahu transaksi saham itu dilakukan menerusi syarikat pesisir.
"Beliau mahu saya dapatkan pembeli sebelum penyenaraian PPB Oil Palms Bhd di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang dijangkakan pada Ogos, 1997," katanya.
Menurut laporan Bernama, semasa pemeriksaan utama, Chia berkata Kasitah mahu transaksi itu dilakukan menerusi sebuah syarikat pesisir, yang beliau percaya berdasarkan beberapa pertemuan dengan Kasitah, beliau mahu penjualan itu kurang telus.
Chia berkata pengarah Briskmark, Datuk Wasli Mohd Said mengarahkannya membantu Kasitah untuk mendapatkan pembeli, namun beliau gagal berbuat demikian.
Beliau memberi keterangan pada perbicaraan Kasitah, 60, bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB) untuk manfaat diri dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan cadangan menjual 16.8 juta saham Sapi yang dipegang oleh lembaga pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd.
Sembunyi tawaran
Dia juga didakwa menipu SLDB dengan menyembunyikan tawaran oleh PPB Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan oleh PPB OIl Palms untuk penyenaraian di BSKL.
Chia berkata ekoran kegagalan itu, Kasitah memberitahunya beliau sudah mendapat pembeli untuk saham-saham berkenaan dan membawanya bertemu pengarah eksekutif PPB Oil Palm, Datuk Khor Chin Poey di pejabatnya di Kuala Lumpur.
"Selepas pertemuan itu, Kasitah memberitahu saya bahawa Khor bersetuju membeli saham-saham itu pada harga RM3.80 sesaham dan meminta saya melaksana urusan yang perlu dengan setiausaha syarikat Khor, Tan Teong Boon," katanya.
Chia berkata beliau dan Tan kemudiannya pergi ke Sabah untuk bertemu Bernard Kong Kok Keong dari InnoSabah Securities Sdn Bhd, sebuah syarikat broker saham untuk memuktamadkan urusan "pembelian di luar pasaran".
Saksi itu berkata susulan permintaan Kasitah, beliau pergi ke Singapura untuk menubuhkan sebuah syarikat pesisir yang dikenali sebagai Arkwell Enterprise yang ditubuhkan menerusi satu syarikat amanah di republik itu bagi memudahkan semua transaksi berhubung pembelian tersebut.
Ketika menjawab soalan timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria sebelum itu, Chia berkata SLDB menggunakan firmanya Arthur Anderson untuk membuat penilaian ke atas aset-aset syarikat serta urusan penyenaraian di BSKL.
Peguam bantah
Menurutnya beliau juga dihubungi oleh Wasli untuk membantu dalam urusan perjanjian jual beli (S&P) antara Briskmark dan PPB Oil Plams, dengan Briskmark yang membeli saham-saham Sapi dan memperoleh (Briskmark) 80 juta saham.
"Wasli memberitahu saya 16 juta saham itu akan dijual kepada Kasitah pada harga lebih tinggi daripada harga kos namun beliau tidak menyatakan jumlah sebenar bagi setiap saham itu," katanya.
Chia juga berkata Wasli memintanya mencari pembeli untuk membeli baki saham dan memberikannya kuasa bertulis mengenai perkara itu pada 23 Julai, 1997. Wasli mahukan pembeli itu sebelum penyenaraian.
Sementara itu, peguambela Datuk Muhammad Shafee Abdullah membantah apabila Persuruhjaya Kehakiman Suraya Othman meminta Kasitah menerangkan kepada mahkamah mengenai permohonan Shafee untuk menangguhkan kes itu kepada Khamis depan.
"Mahkamah perlu melalui peguam memandangkan saya ialah peguam yang dilantik dan tidak wajar hakim berurusan terus dengan tertuduh," katanya.
Suraya berkata beliau tidak mengarahkan Kasitah, cuma menasihatkan beliau supaya memberi arahan kepada peguam-peguamnya bahawa kes itu perlu diteruskan semasa ketiadaan Shafee memandangkan ia sudah berlarutan lebih empat tahun.
Perbicaraan bersambung hari ini.

