Anwar saran kjaan Thai ampun puak pemisah Islam
Pihak berkuasa Thailand patut menimbangkan memberikan keampunan kepada puak pemisah di selatan negara itu sebagai usaha memulihkan keamanan di wilayah bergolak itu, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pihak berkuasa Thailand patut menimbangkan memberikan keampunan kepada puak pemisah di selatan negara itu sebagai usaha memulihkan keamanan di wilayah bergolak itu, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memandangkan kerajaan telah memberi keampunan kepada jeneral dan pegawai tentera yang terbabit melakukan kekejaman pada masa lalu, maka kata Anwar, kerajaan juga patut mengguna pakai langkah yang sama terhadap puak pemisah.
Beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan demikian ketika berucap di Kelab Koresponden Asing Thailand di Bangkok malam tadi.
Bernama melaporkan, Anwar berpendapat kerajaan baru Thailand telah mengambil langkah awal yang baik terhadap penduduk Islam di selatan.
Namun, katanya, tindakan susulan perlu diambil di samping mengiktiraf dan menghormati bahasa Melayu dan agama anutan penduduk tempatan.
Kepada penduduk Islam pula, Anwar berkata mereka juga patut memberikan peluang bagi mencapai keamanan dan menyokong inisiatif yang diambil oleh Perdana Menteri yang baru Surayud Chulanont.
Perdana Menteri sebelum ini, Thaksin Shinawatra yang digulingkan oleh tentera, sering dipersalahkan bagi keganasan yang memuncak di wilayah selatan.
Sokong proses damai
Anwar berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Badawi juga patut lebih tegas dalam menggesa penduduk Islam di wilayah di selatan menyokong proses damai dan tidak menganggap isu itu sebagai masalah dalaman Thailand.
Hampir 2,000 terbunuh di Yala, Narathiwat dan Pattani di mana puak pemisah berjuang menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah majoriti penduduk Islam itu.
Ditanya jika sebuah parti Islam di Kelantan menyokong pemberontakan itu, Anwar berkata, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sebenarnya telah banyak kali cuba merayu kepada penduduk diwilayah selatan itu supaya menyokong usaha damai tersebut.
Mengenai masa depan politiknya, Anwar berkata, beliau akan meneruskan peranannya sebagai penasihat kepada PKR dan bekerjasama dengan PAS dan DAP dalam pilihanraya umum akan datang.
"Pilihanraya itu perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2009 tetapi ramai percaya ia akan diadakan sebelum Mac, 2008 apabila saya akan layak untuk bertanding," katanya.
Anwar yang dilarang daripada bertanding dalam pilihanraya sehingga April, 2008 atas sabitan rasuah di mana beliau dipenjara enam tahun.
Beliau juga didapati bersalah atas tuduhan meliwat tetapi sabitan itu dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.