Adakah Aceh juga akan menemui kegagalan sepertimana yang berlaku di Timur Timur? Bagi Irwandi Yusof, gabenor baru Aceh, jawapannya adalah tidak, jika beliau diberi peluang melakukannya. Irwandi, seorang pejuang pemisah yang kini menjadi ahli politik, mengangkat sumpah semalam sebagai gabenor pertama Aceh yang dipilih dalam pilihanraya yang dimenanginya dua bulan lalu.

Kemenangannya itu telah berjaya menamatkan perang puak pemisah yang telah berterusan selama tiga dekad dan telah mengorbankan banyak nyata di wilayah Indonesia itu yang kaya dengan sumber alamnya.

Kemenangan besar Irwandi juga mengesahkan rasa curiga penduduk Acheh terhadap parti-parti politik yang ada kaitan dengan Jakarta dan sokongan mereka kepada Gerakan Aceh Merdeka (GAM) bekas pejuang pemisah Aceh.

Dua bencana besar gempa bumi dan tsunami yang melanda Aceh pada Disember 2004 merupakan satu rahmat. Ia membawa semula GAM dan kerajaan Indonesia ke meja rundingan walaupun rundingan sebelumnya sering menemui kegagalan.

Rundingan damai yang diusahakan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan dari Finland, berakhir dengan termeterainya perjanjian damai setahun kemudiannya. Perjanjian damai ini telah menyediakan rangka kerja bagi pembentukan sistem 'pemerintahan sendiri' di Aceh.

Sebagai tukaran kepada tuntutan GAM untuk mendapatkan kemerdekaan, sistem baru itu telah memberi kuasa autonomi politik di bawah republik Indonesia. Ia memberi kuasa pemutus yang besar kepada pemerintah tempatan, membenarkan penubuhan parti-parti politik, sebahagian besar hasil minyak Aceh dan integrasi semula GAM ke dalam masyarakat.

Calon utama

Pilihanraya gabenor yang diadakan pada 11 Disember tahun lalu merupakan pilihanraya pertama Aceh di bawah undang-undang yang baru. Satu lagi pilihanraya utama untuk badan legislatif akan diadakan pada 2009. Parti-parti politik tempatan yang sebelum ini diharamkan oleh Jakarta akan ditubuhkan di bawah rangka perjanjian damai untuk bertanding dalam pilihanraya tersebut.

Kemenangan Irwandi memeranjat banyak pihak, terutamanya jika diambil kira pungutan pendapat umum sebelum pilihanraya gabenor itu diadakan di mana 36 peratus pengundi belum lagi memutuskan calon pilihan mereka, menyebabkan calon utama seperti Irwandi hanya memperolehi kurang daripada 25 peratus sokongan. Malah menjelang pilihanraya itu, ada pakar-pakar yang meramalkan pilihanraya kali kedua mungkin terpaksa diadakan.

Namun Irwandi bekas guru sains veterinar berusia 47 tahun itu yakin akan mencapai kemenangan.

Pada hari pilihanraya diadakan, beliau meninjau sebuah pusat pengundi kecil di Kampong Laksana di Banda Aceh, untuk menyaksikan pengiraan undi dijalankan. Ia bukanlah kubu kuatnya. Irwandi duduk sendirian di bahagian belakang dewan sewaktu proses pengiraan undi dijalankan.

Ditanya mengapa beliau memilih untuk meninjau kawasan bandaraya Aceh yang bukan kubu kuatnya, Irwandi memberitahu malaysiakini: "Saya tahu yang saya akan menang di tempat lain. Tapi saya mahu berada di tempat di mana saya tahu yang mungkin kalah agar saya tidak begitu terbawa-bawa dengan keputusan muktamad diumumkan."

Tepat sekali, Irwandi tewas di Kampong Laksana, tetapi menang di hampir kesemua tempat lain. Daripada lapan calon yang bertanding, Irwandi dan calon pasangannya Muhammad Nazar memperolehi 38 peratus daripada jumlah undi. Pencabar terdekatnya, Husbi Abdullah dan calon pasangannya aktivis Humam Hamid kedua-duanya juga dari GAM, tetapi mendapat sokongan bekas pemimpin puak pemisah itu menduduk tempat kedua dengan 17 peratus undi.

Perpecahan dalam GAM

Kemenangan Irwandi itu menunjukkan GAM kekal sebagai satu kuasa yang harus diambil kira. Walaupun GAM mengumumkan pembubaran sayap ketenteraannya tahun lalu, namun rangkaian 17 kawasan ketenteraannya yang dikuasi oleh para komander wilayah, masih wujud.

Sewaktu kempen pilihanraya, rangkaian itu berubah menjadi pangkalan politik yang berpengaruh yang menyokong Irwandi yang tidak aktif dalam ketenteraan GAM. Sewaktu kempen di Banda Aceh, bekas komander puak pemisah dan jurucakap tentera, Sofyan Daud secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Irwandi, "Saya serahkan orang ini sebagai calon anda," katanya dalam perhimpunan ribuan penduduk, "Jika dia gagal menjalankan tugasnya, anda boleh serahkan beliau kembali kepada saya."

Peranan Irwandi dalam menjaga kebajikan bekas pejuang pemisah GAM selepas termeterainya perjanjian damai, menyebabkan beliau mendapat sokongan tidak berbelah bagi daripada anggota GAM, manakala pemimpin generasi lama masih keliru untuk perubahan-perubahan di Sweden, tempat mereka menetap.

Calon pasangan Irwandi Mohammad Nazar yang berusia dalam lingkungan 30-an juga bukan calang-calang orang. Beliau mengetuai heads Sira (Pusat Maklumat Referendum Aceh), sebuah kumpulan pro-kemerdekaan yang berkerjasama rapat dengan GAM sebelum perjanjian damai termeterai. Ia telah menggerakkan himpunan ratusan ribu penduduk, termasuk ketika kempen referendum mengenai kemerdekaan Aceh pada 1999.

Keputusan pilihanraya cukup meyakinkan bagi bekas puak pemisah itu. Walaupun kemerdekaan bukanlah menjadi agenda perjuangan, tetapi ia telah menghantar satu mesej yang jelas kepada Jakarta mengenai inspirasi politik rakyat Aceh. Gabungan 55 peratus undi yang diperolehi oleh Irwandi dan seorang lagi calon GAM, Hasbi, serta kemenangan besar GAM di peringkat daerah, tanpa ragu-ragu menjadi petanda apa yang bakal dihadapi dalam pilihanraya legislatif Aceh dalam tempoh dua tahun lagi.

Tetapi kemenangan itu juga datang bersama cabaran hebat. Irwandi perlu membantu proses peralihan GAM daripada sebuah pasukan bersenjata kepada sebuah pertubuhan awam. Kelewatan penyaluran peruntukan jutaan dana kerajaan kepada bekas pejuang di bawah Agensi Integrasi Semula Aceh yang baru ditubuhkan, telah mencetuskan kekecewaan di kalangna ribuan bekas pejuang GAM yang tidak mempunyai pekerjaan. Tekanan ini perlu dipikul oleh pentadbiran Irwandi untuk mempercepatkan proses tersebut.

Irwandi juga perlu mencari penyelesaian untuk merapatkan jurang antara generasi baru dan lama dalam GAM. Jurang itu dicetukan oleh "perbezaan pandangan" mengenai pemilihan calon dalam pilihanraya. Beberapa anggota penting dari golongan tua pada mulanya memberi sokongan kepada Hasbi.

Bagaimanapun, golongan muda yang kebanyakannya komander dari pasukan gerila di bawah pimpinan Sofyan, mengkritik keputusan yang dibuat oleh pemimpin golongan lama dalam GAM. Sebaliknya, mereka mencadangkan pasangan Irwandi-Nazar bertanding sebagai calon GAM. Dan wujud kumpulan yang tidak sehaluan. GAM akhir memutuskan untuk tidak akan menyatakan sokongan rasmi kepada mana-mana calon dan menyerahkan kepada anggotanya untuk mengundi calon pilihanraya mereka.

Jurang tersebut, jika tidak diselesaikan, akan melemahkan usaha GAM untuk menubuhkan parti politiknya sendiri menjelang pilihanraya legislatif pada 2009.

Masalah segera

Satu cabaran utama yang menanti Irwandi ialah rancangan pembangunan semula ekoran kemusnahan yang berlaku akibat perang dan bencana tsunami. Anggaran AS$8 hingga AS$9 bilion sumbangan agensi-agensi bantuan antarabangsa lambat diterima akibat karenah birokrasi dan rasuah, mengakibatkan ramai rakyat Aceh, termasuk lebih 25,000 orang masih tidak mempunyai tempat tinggal, berada keadaan yang amat menyedihkan. Sebagai gabenor yang baru dipilih, ia menjadi tanggungjawab Irwandi untuk mencari penyelesaian segera terhadap masalah tersebut.

Sebagai tambahan kepada berbilion-bilion dana bantuan itu, pentadbirannya juga bertanggungjawab terhadap perolehan tahunan sebanyak$7.8 bilion daripada perkongsian hasil minyak dan gas. Perbelanjaan daripada bajet tersebut memerlukan kelulusah Parlimen Aceh, yang pada masa ini dikuasi oleh anggota parti pusat yang menganggap GAM sebagai saingan politik utama mereka.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian damai itu, Jakarta mesti menarik balik pengharaman terhadap penubuhan parti poltik peringkat tempatan dan wilayah. Tetapi GAM perlu menunggu sehingga tahun 2009 sebelum ia mempunyai perwakilannya sendiri di Parlimen dan ini merupakan satu cabaran utama terhadap Irwandi. Selain itu, Irwandi juga perlu mencari jalan untuk berfungsi dalam birokrasi yang dikuasai oleh kakitangan awam yang pro-Indoensia, yang mana ramai daripadanya memang diketahui tidak profesional dan rasuah.

Pada 1999, Jakarta melaksanakan undang-undang syariah di Aceh. GAM secara terbuka menolak apa yang dipanggilnya "undang-undang syariah paksaan Jakarta" atas alasan kerajaan Indonesia menggunakannya untuk lari daripada masalah sebenar Aceh, iaitu ketidakadilan dan keganasan terhadap wilayah yang bergolak itu. Undang-undang itu, bagaimanapun, tetap dilaksanakan dan mendapat sokongan para ulama tempatan.

Dewan perhimpunan wilayah juga telah meluluskan beberapa undang-undang kecil dengan membawa hukuman berat bagi jenayah syariah daripada pakaian tidak sesuai kepada seks di luar nikah. Satu cadangan undang-undng kecil yang baru telah mencetuskan lebih banyak kritikan yang membawa hukuman memotong tangan pencuri. Malah, isu ini telah menjadi isu politik yang sensitif dengan banyak pihak mengutuk cadangan tersebut.

Bagaimanapun, persoalannya apakah Irwandi dapat menangani isu ini tanpa dirinya dilabel sebagai anti-Islam oleh saingan politiknya.

Jakarta pula mengalu-alukan kemenangan GAM tetapi masih bersikap waspada. Kecurigaan jelas wujud antara kedua-dua pihak ini. Ia begitu jelas sekali dengan Pasukan Keselamatan Indonesia sehingga panglima tertingginya telah menuntut GAM bersumpah tidak akan meneruskan inspirasi untuk kemerdekaan. Sejurus selepas pilihanraya tersebut, ramai pemimpin parti politik yang berpangkalan di Jakarta termasuk Naib Presiden Indonesia Yusuf Kalla, menuntut GAM dibubarkan. Tuntutan itu, bagaimanapun ditolak serta-merta oleh bekas puak pemisah.

Ketegangan dengan Jakarta

Menjelang bulan-bulan yang mendatang, tidak dapat dielak akan berlaku ketegangan dengan Jakarta. Sehari selepas pilihanraya diadakan, kerajaan Indonesia mengumumkan draf rang undang-undang penubuhan parti-parti politik di Aceh. Rang undang-undang itu mengandungi beberapa syarat yang dengan jelas menghadkan kebebasan parti-parti politik tersebut.

Dalam reaksinya, Irwandi secara terbuka mengumumkan hasratnya untuk merunding semula satu daripada undang-undang utama Undang-undang mengenai Pemerintahan Aceh. Undang-undang itu, yang disah dalam perjanjian damai Helsinki, merangkumi isu-isu panas seperti perkongsian pendapatan minyak dan gas, peranan pasukan polis nasional, pasukan angkatan tentera dan pelaksanaan undang-undang Islam.

GAM, khusuanya, mempertikaikan artikel yang merujuk kepada kuasa kerajaan wilayah. Ia menyatakan perjanjian antarabangsa dan undang-undang kerajaan nasional berkaitan dengan Aceh akan digubal selepas "pertimbangan dan perundingan" dengan pihak Parlimen Aceh.

GAM, serta beberapa kumpulan rakyat Aceh, telah menuntutkan "pertimbangan dan perundingan" itu digantikan dengan "kelulusan". Walaupun perjanjian damai telahpun ditandatangani, tetapi besar kemungkinan Aceh di bawah pimpinan Irwandi akan menuntut rundingan lanjut diadakan dengan Jakarta.

Rakyat Aceh telah memberi Irwandi tempoh lima tahun untuk membina semula wilayah yang dilanda perang, kemiskinan rakyatnya serta bencana alam, Irwandi, yang merupakan antara mangsa yang terselamat sewaktu bencara tsunama, berikrar untuk menyambut cabaran tersebut.

"Aceh sedang melalui fasa baru dalam sejarahnya," katanya kepada malaysiakini. Dan beliau berhasrat untuk memainkan peranan penting mengenainya. Malah, bagi Irwandi, kerja berat ke arah itu, bermula sekarang. Berita asal

Siri seterusnya akan menceritakan bagaimana Irwandi sendiri mendapatkan 'kehidupan baru' apabila bencana tsunami membebaskannya daripada sebuah penjara di Aceh.

PRANGTIP DAORUENG menjalankan penyelidikan mengenai proses damai di Aceh di bawah program darmasiswa intelektual Yayasan Nippon. Beliau melawat Indonsia pada 2002 and 2004.

Foto oleh Prangtip Daorueng