PM digesa tunjuk kesungguhan tangani isu kepentingan Islam
Badan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menunjukkan kesungguhan dan keberanian dalam menangani isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam di negara ini.
Badan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menunjukkan kesungguhan dan keberanian dalam menangani isu-isu yang membabitkan kepentingan Islam di negara ini.
Ini kerana Abdullah tidak menjawab banyak persoalan yang dibangkitkan oleh wakil NGO Islam yang mengadakan pertemuan dengan beliau di Putrajaya Jumaat lalu.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut menghadi pertemuan tersebut berkata, sesetengah jawaban Perdana Menteri pula dibuat secara umum sahaja.
"Banyak cadangan dan pertanyaan yang dikemukakan oleh wakil-wakil NGO dalam pertemuan tersebut, tetapi Perdana Menteri sekadar dijawab `akan ambil perhatian'.
"Manakala beberapa cadangan lain pula tidak dijawab langsung," katanya ketika dihubungi malaysiakini mengenai pertemuan tersebut..
"Beliau (Datuk Seri Abdullah) banyak menulis dan mendengar tetapi dalam isu tertentu, kami mahukan jawaban segera seperti mengenai pihak-pihak tertentu yang cuba mencampuri urusan agama Islam ," katanya.
Kemuka masalah
Pertemuan dengan Perdana Menteri itu diadakan di Putrajaya pagi Jumaat lalu, yang dihadiri 30 NGO Islam, termasuk Teras, Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Hadir sama ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman; Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Mustafa Abdul Rahman.
Mohd Azmi berkata, dalam pertemuan tersebut Abdullah telah meminta NGO yang hadir supaya mengemukakan masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam di negara ini serta mencadangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menanganinya.
"Banyak cadangan yang kami kemukakan dan kini bergantung kepada beliau, sama ada mahu melaksanakannya atau tidak," katanya.
Dalam perbincangan tersebut, katanya, NGO Islam telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa kedudukan perundangan Islam sedang dicabar oleh pihak-pihak tertentu walaupun mereka tahu Islam adalah agama rasmi negara.
Mohd Azmi berkata, NGO Islam juga memaklumakan kepada Abdullah bahawa beberapa agensi kerajaan tidak telus kerana berlakunya rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Isu penyelewangan
Sementara itu, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin memberitahu malaysiakini, beliau telah menyuarakan pandangan mengenai perlunya pembentukan sebuah kerajaan yang baik di negara ini.
"JIM dan NGO Islam lain mahu Akta Rahsia Rasmi (OSA) dimansuhkan kerana akta itu menghalang orang ramai daripada mendapatkan maklumat mengenai perkara tertentu yang membabitkan kepentingan awam.
"Selain itu, saya menyarankan kepada Perdana Menteri supaya mengatasi isu penyelewengan dan rasuah dalam pengurusan kerajaan, termasuk pemberian kontrak," katanya.
Zaid berkata, dalam reaksinya, Perdana Menteri mahu NGO Islam menganjurkan seminar mengikut pengkhususan masing-masing.
Katanya, Abdullah memberitahu wakil NGO itu bahawa umat Islam lemah kerana mereka tidak bersatu dan lebih suka mencari kelemahan sesama sendiri.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.