Pada bulan Februari 2005, seorang penyelidik bebas, Raimy Che Ros mendakwa telah membuat penemuan yang mengejutkan bahawa beliau telah menemui sebuah kerajaan purba di kawasan hutan tebal Johor.

Beliau mendakwa telah mengesan kerajaan purba Kota Gelanggi atau Perbendaharaan Permata selepas 12 tahun menjalankan penyelidikan mengenainya. Gelanggi juga dikenali sebagai Linggiu.

Menurutnya, kota purba ini yang mungkin berusia 1,000 tahun, mungkin lebih lama daripada tamadun purba yang lain di rantau ini, seperti Angkor Wat di Kamboja dan Borobudur di Indonesia.

Raimy, bagaimanapun, tidak pergi ke kawasan kerajaan purba itu. Penemuannya berdasarkan kepada penyelidikan terhadap sejarah Melayu dan kisah lama yang diceritakan oleh penduduk tempatan.

Seorang aktivis Johor kini mengatakan sebab mengapa Raimy gagal menemui peninggalan fizikal kerajaan purba itu adalah kerana ia terletak dalam kawasan yang kini dikawal oleh Singapura.

"Kerajaan purba itu berada dalam kawasan tadahan air yang telah 'dijual' kepada kerajaan Singapura oleh kerajaan negeri Johor pada penghujung tahun 1980-an," Zaaba Abdul Samad (kanan).

Kerajaan negeri telah bersetuju pada pertengahan 1980-an untuk membenarkan negara jirannya itu membiayai kos pembinaan sebuah kawasan takungan air di hutan simpan Linggiu. Pembinaannya bermula pada 1988 dan siap sepenuhnya pada 1994.

Kerajaan Singapura telah menandatangan perjanjian dengan Johor pada 1990 untuk mendapatkan air yang dibekalkan dari kawasan takungan tersebut. Walaupun kerajaan negeri Johor memilik kawasan takungan tersebut, kos operasi ditanggung oleh Lembaga Utiliti Awam Singapura (PUB) yang juga bertanggungjawab menyelenggaranya.

Pembinaan kawasan takungan itu telah menjejaskan banyak kawasan penempatan Orang Asli. Kerajaan Singapura membayar RM320 juta kepada Johor sebagai pampasan bagi kerosakan alam sekitar dan penggunaan tanah di situ.

"Kawasan tadahan itu seluas lebih kurang 51,000 ekar kira-kira satu pertiga keluasan Singapura," kata Zaaba kepada malaysiakini ketika melawat kawasan takungan tersebut baru-baru ini.

Tiada dokumen awam

Penduduk tempatan juga mengadu tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai perjanjian antara Singapura dan kerajaan Johor berhubung pembinaan kawasan takungan tersebut, kerana tiada dokumen awam mengenainya. Satu-satunya dokumen awam yang ada ialah Peta Warta kawasan takungan itu.

Juga wujud kebimbangan berhubung kedudukan kawasan takungan tersebut dan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, kawasan kediaman di sekitarnya akan ditenggelami air dari takungan tersebut.

"Hakikatnya, kita tidak mempunyai kebebasan untuk masuk ke kawasan tersebut. Oleh kerana itu, maka tidak hairanlah jika para penyelidik seperti Raimy tidak dapat membuktikan dakwaan mereka," katanya.

Ekoran dakwaan Raimy yang beliau telah menemui kerajaan purba itu, Jabatan Muzium dan Antikuiti menjalankan satu ekpedisi arkeologi untuk mengesahkan lokasinya.

Bagaimanapun, selepas sebulan, para penyelidik kerajaan tidak menemui sebarang bukti untuk menyokong dakwaan Raimy itu. Hasil rasmi yang ditemui mereka belum diumumkan, tetapi seorang anggota eksplorasi itu mendedahkan 10 bulan kemudiannya bahawa kerajaan purba itu tidak wujud.

Khalid Syed Ali, seorang ahli arkeologi di Jabatan Warisan Negara berkata dalam satu kertas kerja yang dibentangkan dalam satu forum April lalu, bahawa mereka tidak menemui sebarang bukti kerajaan purba itu wujud di dalam kawasan Linggiu.

"Tentulah mereka tidak menemui apa-apa. Kumpulan ekpedisi dengan 15 anggota itu pun ditubuhkan secara tergesa-gesa. Mereka pergi ke situ tanpa mengetahui apa yang mereka hendak cari dan selepas sebulan, mereka keluar. Di manakah laporan rasmi mengenainya?" kata seorang ahli sejarah tempatan yang tidak mahu namanya disebut.

Menurutnya, jika Jabatan Muzium dan Antikuiti serius mengenai penemuan kerajaan purba itu, mereka sepatutnya memberi apa juga bantuan yang diperlukan oleh Raimy untuk menyiapkan penyelidikannya.

"Mereka sepatutnya membantu Raimy masuk ke kawasan tersebut. Tetapi, Raimy sendiri tidak dipilih menganggotai kumpulan ekspedisi itu," kata beliau yang juga seorang pesara awam.

"Oleh kerana kawasan tersebut dikawal oleh Singapura, saya tidak terkejut jika satu hari nanti Muzium Singapura mengumumkan penemuan sebuah kerajaan purba Johor dan menyimpan kesan peninggalannya di sana," tambahnya.

Seorang pegawai dari Muzium Singapura enggan mengulas apabila dihubungi untuk bertanya sama ada sebarang kerja pencarian arkeologi telah dijalankan di kawasan takungan Linggiu.

Kerajaan air

Menurut ahli sejarah itu lagi, sebuah kerajaan purba dikata pernah wujud di kawasan takungan itu. Katanya, menurut kitab babak Jawakono, Negarakarta Gama, pada zaman Raja Hayam Wuruk di abad ke-13, wujud sebuah kerajaan yang dipanggil Kerajaan Air Jernih atau Gangga Ayu Gangga (negara), Ayu (air) dalam bahasa Jawa.

Manakala sebuah kitab Siam yang bernama Kont Montibun , yang ditulis pada abad ke-14 juga mengatakan wujud sebuah kerajaan di hulu Sungai Johor yang dinamakan oleh angkatan siam itu sebagai Kerajaan Hamparan Permata Kerajaan Wurawarai .

Beliau berkata, ia dinamakan Hamparan Permata , kerana jumlah air yang terlalu banyak ketika itu, sehingga dari jauh nampak bekeliauan seperti pertama.

"Di sini juga berlakunya serangan Rajendran Chula dari India atau Raja Suran yang datang menyerang yang akhir mengalahkan kerajaan Gangga Ayu dan mengahwini puteri raja yang memerintah, Onang Kiew.

"Jadi, kena susun fakta berasaskan kepada maklumat yang teratur, iaitu pernah wujud sebuah sebuah kerajaan pada abad ke-13 dan 14 (menurut kitab jawa) yang mana kerajaan ini adalah sebuah kerajaan air.

"Dan ianya sudah jadi sejarah, dan berasaskan sejarah ini, pihak Pesuruhjaya Singapura telah mengemukakan permohonan pada 1927 untuk mendapatkan bekalan air," katanya lagi.

Berdasar perkara itu katanya, adalah dipercayai sebuah kota kerajaan purba yang dikatakan telah tenggelam Kerajaan Gangga Ayu termasuk dalam kawasan yang diserahkan kepada Skim Linggiu.

"Jadi kita telah menghilangkan asas kewujudan sebuah kerajaan purba yang tidak boleh dibuat kajian sejarah, sepertimana yang diceritakan oleh kitab lama Jawa dan Siam, wujud pada abad ke13 dan 14..." katanya.

Selain kitab lama Jawa dan Siam itu, butiran yang serupa mengenai kerajaan Gangga Ayu ini turut diceritakan dalam buku Sejarah Melayu yang disunting dan dikemaskinikan oleh Tun Seri Lanang, iaut Bendahara Johor pada 1612 AD.

"Kita tidak tahu kebenaran cerita mengenai kerajaan purba ini. Masyarakat Orang Asli di situ sering bercakap mengenai sejarah itu yang diceritakan turun temurun dari nenek moyang mereka lagi," kata ahli sejarah tersebut.

"Bagaimanapun, pada masa ini, saya tidak nampak bagaimana kita boleh memulakan sebarang kerja-kerja penyelidikan di kawasan tersebut kerana ia dikawal oleh pihak Singapura," tambahnya.

Sementara itu Zaaba juga bersetuju dengan pandangan tersebut, sambil menambah, kerajaan Johor harus mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai perjanjian dengan kerajaan Singapura berhubung kawasan takungan itu.

"Saya yakin tentu ada peruntukan dalam perjanjian itu yang membenarkan pihak-pihak berkenaan untuk masuk ke kawasan tersebut untuk tujuan yang sah.

"Tetapi sayangnya kita tidak pasti mengenainya kerana kekurangan dokumen awam mengenainya," katanya. Berita asal