Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara menyiasat gerakan PAS menukarkan alamat pengundinya dari kawasan kubu kuatnya ke kawasan yang tidak selamat bagi parti itu.

Katanya, walaupun kegiatan itu tidak menyalahi peraturan pilihanraya tetapi ia sangat tidak adil kerana dilakukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya.

Beliau mendakwa PAS kini cuba memindahkan pengundi di kalangan ahlinya ke kawasan berkenaan untuk menang dalam piihanraya umum akan datang.

Khairy berkata, beliau difahamkan gerakan PAS itu telah mula dijalankan selepas parti itu dikejutkan dengan kekalahan teruk dalam pilihanraya lalu.

"Saya terkejut besar apabila diberitahu oleh Biro Penambahan Ahli dan Daftar Pemilih Pergerakan Pemuda mengenainya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jejak Pengundi Muda anjuran Pergerakan Pemuda Umno Kelantan di Kota Bharu semalam.

'Pengundi hantu'

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Umno Kelantan Dali Hussain dan lebih 400 ahli dari semua bahagian di Kelantan.

Khairy berkata walaupun PAS juga pernah menuduh Umno menaja "pengundi hantu" pada pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun lalu tetapi kesemua tuduhan mereka itu gagal dibuktikan di mahkamah.

Sementara itu, beliau mahu Pemuda Umno Kelantan memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada lebih 150,000 ahlinya yang berdaftar sebagai pengundi baru di negeri itu keluar mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, jika sasaran 60 peratus itu tercapai, BN mempunyai peluang cerah untuk merampas Kelantan daripada PAS pada pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak kesemuanya "kawasan hitam" yang tidak boleh dimasuki BN sekarang.