Demokrasi: Malaysia 20 tahun di belakang Taiwan
Ahli politik Taiwan, Shih Ming-te yang 25 tahun merengkok di penjara kerana menentang kerajaan menganggap Malaysia berada 20 tahun di belakang Taiwan dalam kebebasan demokrasi.
Ahli politik Taiwan, Shih Ming-te yang 25 tahun merengkok di penjara kerana menentang kerajaan menganggap Malaysia berada 20 tahun di belakang Taiwan dalam kebebasan demokrasi.
Shih, yang dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan bagi tahun ini, berkata, Malaysia perlu mengenepikan politik kaum.
"Saya tahu, dalam perlembagaan anda, kaum tertentu diberi status tertentu," katanya Shih kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri, Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibupejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.
"Tetapi saya rasa, jika generasi muda Melayu, Cina dan India di negara ini boleh menerima persamaan hak sebagai satu nilai bersama, maka negara ini boleh lebih maju dari segi demokrasinya," tambahnya.
Shih berada di Malaysia atas jemputan media bahasa Cina untuk bercakap mengenai pengalaman politiknya dan demokrasi di Taiwan dan Malaysia.
Beliau menjalani hukuman penjara selama 15 tahun atas kesalahan hasutan dan 10 tahun lagi kerana pembabitannya dalam perhimpunan pro-demokrasi.
Antara kemuncak latarbelakang politiknya termasuk pembabitannya dalam pergerakan pelajar untuk menggulingkan kerajaan Kuomintang dan mengadakan mogok lapar.
Shih menjadi pengerusi Parti Progresif Demokratik (DPP) dari tahun 1993 hingga 1996.
Darah dan airmata
Tahun lalu, Shih menganjurkan bantahan yang disertai oleh ribuan orang untuk menuntut peletakan jawatan Presiden Taiwan, Chen Chui-Bian.
Mengenai suasana politik di negara ini, Shih berkata tanggapan banyak berlaku rasuah di Malaysia bukanlah sesuatu yang unik.
Menurutnya, ia berpunca daripada sistem kehakiman yang tidak bebas, sambil menambah bahawa Malaysia 'masih jauh' di segi kebebasan demokratik.
"Demonstrasi merupakan perkara biasa di Taiwan. Tetapi di Malaysia, ianya ditegah, Dua puluh tahun lalu, Taiwan juga seperti anda sekarang.
"Tetapi selepas usaha yang bersungguh-sungguh, selepas seorang demi seorang pemimpin dipenjarakan, lama kelamaan masalah itu dapat diatasi. Benih kebebasan itu tersemai dengan darah dan air mata, kini kita melihat ia berkembang," katanya.
Menurutnya lagi, parti-parti pembangkang mempunyai peranan yang dalam perjuangan untuk mendapatkan kebebasan kerana merekalah yang berjuang untuk pembaharuan dan perubahan politik.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Xavier Jeyakumar; Ketua Penerangan, Tian Chua dan anak sulung Wan Azizah Nurul Izzah Anwar. Berita asal

