Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Orang Melayu dan bumiputera di Sarawak sangat memerlukan kehadiran Umno ke negeri itu bagi menyatukan mereka yang kini berpecah di bawah beberapa parti politik yang ditubuhkan di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Penaja Umno Sarawak, Affendi Jeman.

Malah, beliau mendakwa, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin parti-parti politik Sarawak, termasuk Ketua Menteri, yang juga Presiden PBB, Tan Sri Taib Mahmud dan mereka tidak menentang kemasukan Umno ke Sarawak.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengambil langkah menubuhkan jawatankuasa penaja Umno Sarawak September lalu dan dua minggu kemudian, membuat permohonan kepada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya parti itu masuk ke Sarawak.

"Hanya Umno yang boleh menyatupadukan orang Melayu dan kaum bumiputera di Sarawak sebagaimana parti itu menyatukan orang Melayu dan bumiputera di Sabah sebelum ini.

"Orang Melayu Sarawak sudah lama mendesak Umno masuk ke negeri itu kerana mereka percaya parti terbesar di Malaysia itu boleh memaju dan menyatupadukan mereka," katanya ketika ditemui malaysiakini di Machap semalam.

Beliau hadir sama untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Lai Meng Chong yang berdepan dengan calon DAP, Liou Chen Kuang. Hari pengundian ditetapkan pada 12 April ini.

Tidak putus asa

Affendi berkata, kini orang Melayu dan bumiputera di negeri itu berpecah di bawah beberapa parti politik seperti Parti Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyak Sarawak (PRS).

Menurutnya, beberapa pemimpin Melayu Sarawak seperti bekas Menteri Pertahanan, Datuk Abang Abu Bakar Mustapha dan bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Bujang Ulis telah menyertai Umno, tetapi melalui negeri lain.

Sebelum ini, katanya, Abang Abu Bakar pernah berusaha untuk membawa Umno ke negeri itu tetapi gagal kerana ditolak oleh ibupejabat parti tersebut.

Ditanya mengenai status permohonannya untuk membawa parti itu masuk ke Sarawak, Affendi berkata, sehingga ini pihaknya belum menerima jawapan daripada ibupejabat Umno mahupun daripada Perdana Menteri sendiri.

"Tetapi ia sama sekali tidak mematahkan semangat saya dan setakat ini 12 cawangan penaja Umno telah ditubuhkan di Kuching dan beberapa tempat lain," katanya.

Affendi berkata, Umno jika ditubuhkan di Sarawak mampu menawan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai pembangkang.

ADS