JKR bayar pampasan RM257.4 juta kepada Gerbang Perdana
Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) dibayar pampasan RM257.4 juta berikutan tuntutannya terhadap pembatalan projek pembinaan jambatan separuh bagi menggantikan Tambak Johor dalam kawasan Malaysia.
Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) dibayar pampasan RM257.4 juta berikutan tuntutannya terhadap pembatalan projek pembinaan jambatan separuh bagi menggantikan Tambak Johor dalam kawasan Malaysia.
Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat bayaran tersebut secara berperingkat melibat pampasan terhadap pembatalan projek, kerja yang dilakukan sebelum pembatalan, peralatan yang telah dibeli dan bayaran untuk sub-kontraktor, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu.
"Pampasan juga dibayar terhadap masa yang telah digunakan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum itu, beliau menyerahkan replika kunci bangunan Kompleks Mahkamah Baru Kuala Lumpur kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang mewakili Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang jabatan tersebut, demikian menurut laporan Bernama.
Kompleks mahkamah bernilai RM270 juta itu yang dibina pada Januari 2002 di kawasan seluas 12 hektar di Jalan Duta. Ia menempatkan 77 bilik bicara 28 bilik Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen (21), Mahkamah Majistret (26) dan Mahkamah Keluarga (2).
Paip bocor
Samy Vellu berkata bayaran pertama yang dibuat ialah sebanyak RM155 juta diikuti dengan bayaran kedua sebanyak RM67.4 juta dan bayaran terakhir yang diluluskan kabinet ialah sebanyak RM35 juta.
GPSB dilaporkan mengemukakan tuntutan berjumlah RM350 juta kepada JKR berikutan keputusan kerajaan untuk membatalkan projek "jambatan bengkok" itu April tahun lalu.
Mengenia kejadian paip bocor di Jabatan Imigresen Putrajaya minggu lalu, Samy Vellu berkata JKR sedang menyiasat punca sebenar kejadian itu.
"JKR telah menghantar paip yang dipasang di bangunan itu ke makmal dan selepas itu jika didapati ia tidak boleh digunakan di negara ini, JKR akan segera menghantar surat ke JPM," katanya.
Katanya beliau difahamkan paip air yang dipasang di bangunan itu dibuat daripada bahan yang tidak pernah digunakan di negara ini dan ia disyorkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
Samy Vellu berkata, walaupun JKR bertanggungjawab terhadap kerja penyelenggaraan setiap bangunan yang dibina oleh Putrajaya Holdings di Putrajaya, tidak semua bangunan yang dijaganya.

