Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok dipenuhi dengan isu pengundi hantu dan gangguan polis terhadap pembangkang.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan rasmi terhadap penipuan yang didakwanya berlaku dalam pilihanraya kecil tersebut.

Sewaktu kempen pilihanraya kecil Ijok, polis telah menghentikan beberapa ceramah anjuran pihak pembangkang termasuk ceramah yang membabitkan Anwar dan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang kerana dikatakan tidak mendapat permit polis.

Manakala petang tadi, kekecohan berlaku apabila penyokong pembangkang menahan sebuah bas yang didakwa mereka membawa pengundi hantu di Kampung Bukit Badong.

Bagaimanapun, Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Kamaruzaman Mohamad Nor sebelum itu telah menafikan dakwaan pihak pembangkang itu.

"Tidak ada pengundi hantu," katanya sambil menambah bahawa pihak yang bertanding mesti menggunakan senarai pemilih yang disediakan oleh SPR.

Katanya, kekeliruan itu timbul kerana mereka menggunakan senarai pemilih yang lain.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Ijok walaupun mendapat tentangan hebat daripada pihak pembangkang sepanjang sembilan hari kempen dijalankan.

Calon BN, K Parthiban dari MIC, memperolehi 5,884 manakala calon PKR' Tan Sri Khalid Ibrahim mendapat 4,034 undi. BN menang dengan majoriti 1,850 bertambah 210 undi.

Keputusan pilihanraya kecil itu dianggap sebagai ujian populariti BN dan parti pembangkang itu menjelang pilihanraya umum sebelum 2009.

- AFP