Orang Melayu yang mahu meninggal agama Islam mesti bersedia melepaskan hak-hak keistimewaan yang dinikmati oleh bangsa tersebut, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelasnya, ini kerana perlembagaan negara telah menetapkan bahawa Islam adalah antara ciri-ciri seorang Melayu.

"Jika mereka meninggal Islam, maka mereka bukan orang Melayu,," katanya ketika diminta mengulas kes-kes orang Melayu yang telah atau mahu meninggalkan agama Islam.

Katanya, jika mereka berbuat demikian, secara rasminya mereka bukan lagi seorang Melayu.

"Orang Melayu di negara ini menikmati keistimewaan-keistimewaan tertentu, jadi mereka (yang meninggalkan Islam) tidak lagi berhak mendapat hak dan keistimewaan (dalam perlembagaan yang melibatkan orang Melayu)," katanya.

"Jika anda mahu meninggalkan Islam, maka anda juga mesti bersedia untuk melepaskan (hak-hak berkaitan dengan) definasi seorang Melayu. Anda mesti kata 'saya bukan orang Melayu'," katanya.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) menegaskan demikian dalam temubual dengan malaysiakini di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya baru-baru ini.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan definasi orang Melayu adalah seseorang yang bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan mengamalkan ajaran agama Islam.

Dalam Artikel 160 Perlembagaan Persekutuan, "Melayu" ertinya seseorang yang menganut agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu dan lahir, sebelum Hari Merdeka (31 Ogos 1957), di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil (bermastautin) di Persekutuan atau di Singapura; dan ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Peluk Islam untuk berkahwin

Sudah menjadi kebiasaan bagi bukan Islam untuk memeluk Islam sebelum berkahwin dengan orang Islam dan jabatan agama pula selama ini tidak mengambil tindakan terhadap saudara baru itu yang kembali ke agama asal mereka selepas berlaku perceraian.

Bagaimanapun, mahkamah Syariah tidak membenarkan orang Melayu keluar dari Islam dan menjadi murtad.

Ini sebahagiannya kerana timbul kebimbangan bahawa jika dibiarkan berlaku, ia akan menjejaskan jalinan definasi seorang Melayu.

Dalam satu program khas yang disiarkan oleh stesen Al Jazeera mengenai isu murtad, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata: "Bila kita melihat seorang Melayu, maka kita melihat seorang Islam. Itulah yang terkandung dalam Perlembagaan. Jadi jika kita membenarkan semua perkara ini berlaku, maka kita akan habis. Malaysia akan habis".

Dalam usaha menghalang percubaan keputusan mahkamah Syariah dicabar di mahkamah sivil, maka Artikel 121 (1A) telah dipinda pada 1988. Sejak itu mahkamah Syariah dan mahkamah sivil mempunyai bidangkuasa yang berasingan.

Antara kes-kes yang menjadi tumpuan masyarakat ialah kes Lina Joy seorang Melayu yang telah meninggalkan Islam dan memeluk Kristian. Rayuannya untuk mendapatkan pengiktirafan di segi perundangan kini menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Fakta daripad fiksyen

Dr Mahathir di mana pindaan tersebut dibuat sewaktu pentadbiranya berkata tidak perlu mendefinasikan semula takrif orang Melayu.

"Buat masa ini, tidak ada sebab untuk kita menukarkan definasi orang Melayu," katanya.

Menurut beliau, selain Malaysia terdapat sekurang-kurang sebuah lagi negara Maldives yang mengaitkan bangsa dengan agama.

Sementara itu, dalam artikel yang disiarkan oleh akhbar the Star , pakar perlembagaan, Dr Shad S Faruqi menegaskan bahawa seorang Islam yang murtad akan hilang status Melayunya, perkahwinannya akan bubar dan akan berbangkit masalah hak jagaan dan hak keistimewaan orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan meninggal Islam itu tidak bermakna "secara automatik meninggal masyarakat Melayu...".

"Tugas pertama kita ialah untuk mengasingkan antara fakta dengan fiksyen," katanya.