Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pak Lah kahwin Sabtu ini
Diterbitkan:  Jun 6, 2007 12:11 PM
Dikemaskini: Jan 29, 2008 10:21 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,67, akan melangsungkan perkahwinan dengan Jeanne Abdullah, 53, Sabtu ini, demikian diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut kenyataan pejabat berkenaan, majlis akad nikah akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya dan akan dihadiri keluarga terdekat sahaja.

Pengumuman hari ini mengesahkan khabar angin yang bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu bahawa Perdana Menteri akan berkahwin semula.

Jeanne Abdullah dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953 dan merupakan anak sulung daripada empat orang adik-beradik.

Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pentadbiran dan penghotelan setelah terlibat dalam pengurusan beberapa hotel terkemuka di Malaysia, termasuk Hotel Hilton Kuala Lumpur dan Hotel Pan Pacific.

Jeanne juga pernah bertugas sebagai Pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan Pengurus Kompleks Seri Perdana. Jeanne mempunyai dua orang anak, Nadiah dan Nadene.

Sesi taklimat

Sebaik selepas pengumuman mengenai perkahwinan tersebut dibuat, Pejabat Perdana Menteri mengadakan satu taklimat khas untuk semua media (malaysiakini tidak termasuk) untuk memberi garispanduan mengenai cara membuat liputan majlis tersebut.

Menurut sumber-sumber yang menghadiri taklimat selama kira-kira 30 minit itu, pihak media diminta supaya tidak memperbesar-besarkan majlis tersebut dan pengumuman rasmi akan dibuat melalui agensi berita Bernama.

Pihak akhbar juga diminta tidak menyiarkan iklan-iklan ucap tahniah bagi perkahwinan perdana menteri itu.

Media juga diminta supaya tidak menyiarkan apa-apa mengenai latarbelakang Jeanne atau bergantung kepada apa yang disiarkan oleh Internet.

Jika ada sebarang keraguan, mereka juga diminta mendapat penjelasan terus daripada Perdana Menteri.

PM: 'Kami serasi'

Sementara itu, Bernama melaporkan Abdullah berkata, beliau memilih Jeanne sebagai pasangan hidupnya kerana ada keserasian antara mereka berdua, selain yakin bakal isterinya itu mampu

menjaganya dengan baik.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, kasihnya terhadap Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood akan terus kekal abadi dalam ingatannya.

"Kasih dan cinta saya pada Kak Endon tetap teguh. Tuhan menciptakan banyak ruang dalam hati sanubari kita bagi berlainan orang untuk disayangi.

"Kita boleh sayangi ibu, anak, isteri, cucu, adik tetapi kita tidak dapat bandingkan kasih kita kepada ibu dengan kasih kepada isteri. Jeanne adalah satu daripadanya...itu adalah kelebihan Allah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) 2007 di sini hari ini.

Kira-kira 80 wartawan termasuk daripada agensi berita asing yang membuat liputan majlis itu memenuhi bilik tempat sidang akhbar berlangsung bagi mendapatkan kenyataan gembira Perdana Menteri itu selepas pejabatnya memmbuat pengumuman pagi ini mengenai pernikahannya itu yang akan dilangsungkan di Seri Perdana, Putrajaya, Sabtu ini.

Bulan madu

Jeanne pernah berkahwin dengan adik Endon tetapi mereka telah bercerai lebih 15 tahun lalu.

Abdullah bersyukur kepada tahun dan amat gembira kerana pasangan hidup pilihannya itu mendapat restu daripada anak-anak dan saudara maranya.

Katanya, walaupun beliau telah mengenai Jeanne sejak lebih 20 tahun yang lalu, tetapi mereka baru menjalinkan hubungan tidak sampai setahun yang lalu.

Sambil menyifatkan Jeanne sebagai seorang yang ramah, "saya percaya dia boleh menjaga saya, menjadi teman hidup saya."

Abdullah berkata, mereka belum lagi berbincang mengenai bulan madu tetapi katanya, Jeanne akan menemaninya dalam lawatan rasminya ke luar negara.

Mac lalu, Abdullah berseloroh menafikan 'khabar angin' yang beliau akan berkahwin lagi.

Ucapan tahniah

Manakala pemimpin pelbagai kaum menyampaikan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri. Ucapan tahniah juga diterima daripada Amerika Syarikat melalui dutanya Christopher J. Lafleur yang menyifatkan pengumuman itu sebagai satu berita yang menggembirakan.

"Bagi pihak rakyat Amerika, saya mendoakan Perdana Menteri dan Ms (Jeanne) Abdullah serta keluarga mereka, hidup bahagia bersama. Tahniah," katanya kepada Bernama.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting berkata bagi pihak parti, beliau sangat gembira dengan berita itu dan percaya bakal isteri Perdana Menteri akan membawa kebahagian dalam hidupnya.

"Berita pernikahan Pak Lah akan membawa kesan positif kepada pentadbiran kerajaan dan negara. Kami mendoakan semoga Pak Lah sentiasa sihat dan bahagia sehingga ke akhir hayat bersama bakal isterinya," katanya ketika dihubungi.

Ong yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kesemua jemaah Kabinet memberikan reaksi yang positif semasa Abdullah mengumumkan berita itu dalam mesyuarat jemaah Kabinet hari ini.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu yang turut mengucapkan tahniah berkata: "Saya amat gembira mendengar berita itu daripada YAB Perdana Menteri sendiri dan ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada beliau.

Semoga mereka akan terus dirahmati dengan kebahagiaan.

"Saya percaya rakyat juga amat gembira mendapat berita mengenai perkahwinan beliau," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kesemua menteri turut gembira dengan berita itu dan berkongsi kebahagiaan Perdana Menteri.

ADS