Panglima Tentera Darat Thailand, Jeneral Sonthi Boonyaratglin, berkata beliau tidak yakin dengan laporan akhbar bahawa seorang pejuang pemisah yang paling dikehendaki pihak berkuasa, kini bekerja dengan syarikat minyak Malaysia, Petronas.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai dakwaan kononnya, Sapaeing Basoe, 68, bekas pengetua Sekolah Yayasan Thammawithaya di Yala, kini bekerja di Malaysia.

Menurut Bernama, Sonthi, pengerusi Majlis Keselamatan Kebangsaan yang dibentuk selepas rampasan kuasa tentera pada 19 September tahun lalu, memberitahu stesen televisyen ASTV, bahawa beliau yakin pihak berkuasa di Malaysia tidak akan melakukan sedemikian.

"Saya tidak pasti (Sapaeing bekerja di Malaysia), tetapi jika pegawai Malaysia tahu, tentunya mereka akan mengambil tindakan. Saya tak fikir mereka mahu puak militan tinggal di negara mereka," katanya ketika diminta mengulas satu laporan oleh akhbar Thai Post semalam.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, Sapaeing kini hidup selesa di Malaysia kerana dia bekerja sebagai penasihat kepada Petronas, dengan pendapatan 100,000 baht (RM10,000) sebulan.

Sapaeing dilaporkan mendapat pekerjaan itu hasil perakuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga penasihat Petronas.

Dia menghilangkan diri dua tahun lalu selepas pihak berkuasa Thailand menahan beberapa guru di sekolahnya kerana dipercayai menjadi militan.

Kerajaan Thailand menuduh Sapaeing menjadi ketua Barisan Revolusi Nasional (BRN), sebuah kumpulan pemisah yang ditubuhkan 30 tahun lalu oleh beberapa ulama, setelah diarah supaya menutup sekolah pondok mereka yang dilihat sebagai tempat melahirkan pengganas.

Lebih 2,300 orang telah mati akibat keganasan di tiga wilayah dengan majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani, yang menuntut kemerdekaan.