"Saya orang Islam, saya orang Islam,," kata Mohamad Jehapar Ali Hussaien Kader, yang masih terperanjat dan seperti tidak percaya yang restorannya telah diserbu oleh pegawai Jabatan kemajuan Agama Islam (Jakim) Selasa lalu.

Seramai 25 pegawai Jakim datang ke Restoran Aiswaria, di Lorong Maarof, Bangsar, ketika waktu makan tengahari, untuk memeriksa sijil halal di restoran tersebut.

Apabila mendapati Aiswaria tidak mempunyai sijil halal, mereka terus menurunkan tulisan ayat al-Quran dan gambar Kaabah yang digantung di dinding restoran tersebut.

Menurut Mohammed Dhasthasir, salah seorang pekerja restoran tersebut, pegawai Jakim itu menurunkan ayat alQuran dan gambar Kaabah itu kerana menganggap ianya "mengelirukan".

Katanya, pegawai berkenaan berkata, kerana restoran itu tidak mempunyai sijil halal, maka sebarang barangan yang berkaitan dengan Islam tidak boleh digantung di situ.

Mereka mengambil ayat al-Quran dan gambar Kaabah tersebut dan tidak memulangkannya kepada pemilik restoran itu.

Jakim juga membuat laporan menyatakan Aiswaria telah melakukan beberapa kesalahan, termasuk tidak mempunyai sijil halal, menggantung ayat al-Quran yang tidak "disahkan" oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan tidak mempunyai pekerja Islam.

Bagaimanapun, kata Dhasthasir, tujuh daripada 12 pekerja restoran Aiswaria, termasuk beliau sendiri, beragama Islam.

"Saya bagitahu mereka saya seorang Islam dan saya menandatangani laporan itu menggunakan nama penuh saya!" kata Dhasthasir.

"Nama saya Mohammed, takkan merek tidak tahu apa agama saya?" tambahnya.

Tiada penjelasan

Dhasthasir dan Ali juga kecewa kerana pegawai Jakim itu turut mengambil barangan perhiasan di restoran tersebut tanpa memberi sebarang penjelasan.

"Saya seorang Islam, jadi mengapa saya tidak boleh gantung ayat al-Quran? Hanya kerana kami tidak ada sijil halal, adakah itu sebabnya mereka mengambil barangan perhiasan itu?" soalnya.

Beliau juga tidak puashati dengan tindakan keras pegawai Jakim tersebut. "Mereka sepatutnya memberi saya notis tiga hari. Saya faham jika mereka datang untuk menyemak sijil halal, tetapi benda-benda seperti gambar-gambar itu mereka sepatutnya bagi tahu kita dan kita sendiri akan menurunkannya," katanya.

"Mereka tidak sepatutnya mengambil gambar-gambar tersebut..," katanya sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai 'satu rompakan'.

Menurut Dhasthasir, ramai pegawai Jakim yang datang dan 15 daripadanya memasuki restoran tersebut manakala yang lainnya berlegar-legar di luar. Selama 20 minit, mereka menyoal pekerja restoran itu, memeriksa sekitarnya, mengambil gambar yang digantung dan beredar dari situ.

Akhbar New Straits Times juga dalam laporannya hari ini berkata, pegawai yang sama turut merampas gambar tuhan Hindu dari Restoran Seetharam sebuah restoran India yang terletak di blok yang sama dengan Aiswaria.

Sementara itu, dalam satu kenyataannya, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata pihak berkuasa agama mesti menghentikan tindakan seumpama itu dan menggesa campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Berita asal