Pemimpin negara Islam tidak pernah bersuara mengenai kumpulan pengganas yang ada di negara mereka, kata bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan.

Sikap mereka itu, kata beliau, menunjukkan negara-negara Islam seolah-olah setuju dengan kegiatan ekstrim tersebut.

"Pemimpin-pemimpin Islam hanya membisu dan tidak pernah bersuara mengenai perkara tersebut dan seolah-olah menjadi wakil kepada negara Islam terbabit.

"Walaupun kumpulan pengganas itu tidak besar tetapi kerana sikap membisu itu, menyebabkan ia lebih menonjol di mata masyarakat dunia," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Annan, yang mengetuai badan dunia itu dari 1997 sehingga tahun lalu, berada di sini untuk berucap dalam ceramah Khazanah Global Series malam tadi.

Di Malaysia, beliau telah bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya gembira berjumpa Anwar kerana beliau merupakan kawan baik saya," katanya.

Selesaikan konflik

Bagaimanapun, Annan berkata, Malaysia merupakan antara negara Islam terbaik dan menjadi contoh kepada negara Islam lain.

Malaysia, katanya, sentiasa muncul sebagai negara contoh kepada kemajuan dan pembangunan serta sedia menyelesaikan konflik di dalam negara Islam lain.

Katanya, setiap negara mempunyai masalah yang tersendiri tetapi Malaysia boleh mengendalikan masalah hubungan antara kaum dengan baik.

Beliau berkata, amat penting bagi negara seperti Malaysia mempertahankan hak asasi manusia dan prinsip undang-undang.

Annan berkata, ketika beliau melawat Belgium, rakyat negara itu telah bertanya kepadanya mengenai perlembagaan Kesatuan Eropah yang menurut mereka mungkin akan berpecah.

Katanya, banyak orang yang berada di luar EU mahu kesatuan tersebut bermasalah supaya masalah yang berlaku di negara masing-masing, dilupakan.