M'sia negara Islam, kata Najib
Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malaysia bukan negara sekular tetapi merupakan sebuah negara Islam dengan takrifnya yang tersendiri, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia tidak pernah berpegang kepada sekularisme tetapi didorong oleh asas Islam kerana Perlembagaan jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi, demikian menurut laporan Bernama.
"Islam adalah agama rasmi dan kita adalah negara Islam tetapi sebagai sebuah negara Islam tidak bererti kita tidak menghormati mereka yang bukan beragama Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam masing-masing mempunyai hak," katanya.
Beliau memberitahu pemberita selepas mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan persidangan antarabangsa mengenai Negara Islam Dalam Dunia Global anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Ketika diajukan soalan bahawa kerajaan nampaknya sedang menuju ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, Najib berkata : "Saya perlu betulkan anda.
Takrif Barat
"Kita tidak pernah menjadi sekular kerana sekular seperti yang ditakrif oleh Barat bererti meminggirkan prinsip Islam daripada cara kita mentadbir negara.
"Kita tidak pernah berpendirian sedemikian (kerana) kita sentiasa didorong oleh pegangan kita kepada asas Islam. Tanggapan anda adalah salah."
Katanya Malaysia tidak akan dipengaruhi oleh takrif Barat mengenai kedudukan negara sekular dan bukan sekular.
Persidangan dua hari itu bertujuan membincangkan secara spesifik kaedah strategik untuk meningkatkan kedudukan umat Islam sedunia menerusi pendidikan bagi mewujudkan insan modal berkualiti.
Sebelum itu, Najib melancarkan buku berjudul "The Ijazah of Abdullah Fahim" karya Mesut Idris dan Syed Ali Tawfik Al-Attas.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.