Raja Petra Kamaruddin menjadi bingung dengan dakwaan dalam laporan polis yang dibuat oleh Umno terhadap Malaysia Today dan menegaskan bahawa beliau tidak menulis sebarang artikel pada 11 Julai lalu.

"Saya tidak menulis apa-apa pada 11 Julai," kata Raja Petra, "Jadi saya ingin tahu, artikel mana yang mereka perkatakan itu?"

Editor Malaysia Today itu - sebuah blog politik - menambah artikel-artikel yang dituliskan di sekitar tarikh tersebut adalah masing-masing pada 8 Julai dan 13 Julai.

Menurut Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang membuat laporan polis terhadap Malaysia Today , berkata artikel-artikel yang didakwanya menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agong disiarkan dalam blog tersebut pada 11 Julai lalu.

Raja Petra berkata, beliau belum menerima salinan laporan polis tersebut, dan oleh itu tidak dapat menyatakan sama ada tuduhan tersebut berjustifikasi atau tidak.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan apa yang diketahuinya dari media mengenai dakwaan dalam laporan polis tersebut, Raja Petra berkata, beliau telah menyemak arkib dalam blognya dan mendapati tidak ada artikel tulisannya pada 11 Julai.

Misi Umno

Raja Petra juga berkata, menurut sumber-sumber dalaman, rujukan 11 Julai itu dibuat secara sembarangan bagi menyokong laporan tersebut.

"Bila Umno mengadakan mesyuarat mengenai isu tersebut," katanya, "mereka belum mempunyai artikel tersebut. Hanya semasa mereka menyediakan draf laporan itu, baru mereka mencari satu artikel untuk menyokongnya, bukan sebaliknya."

Menurut sumber-sumbernya, Taib dan ahli-ahli Umno yang lain telah menemui peguam mereka untuk berbincang mengenai laporan tersebut dua hari lalu.

Raja Petra berkata, Umno kini dalam misi untuk mengurangkan pengaruh blog di negara ini, dan parti tersebut telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk bertindak balas terhadap blog, termasuk Malaysia Today .

Sekat alamat IP

Raja Petra berkata, mereka dari Umno telah menyerangkan lamanwebnya dengan meninggalkan pelbagai komen dan mesej 'sampah' sehingga beliau terpaksa menyekat alamat IP mereka daripada melayari blognya.

"Setiap hari, saya menerima kira-kira 500 atau 600 komen berulang yang menuduh saya membuat 'fitnah' dan 'pembohongan'," tegasnya.

"Akhirnya saya terpaksa membersihkan semua mesej 'sampah' tersebut dan menyekat alamat IP berkenaan. Sekarang mereka tidak boleh lagi melayari lamanweb ini," katanya.

Beliau mendakwa, laporan polis terhadap Malaysia Today itu adalah sebahagian daripada skim yang sama untuk bertindak balas terhadap lamanweb alternatif di Malaysia. Berita asal