Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyuarakan keyakinannya terhadap kepimpinan kerajaan negeri Selangor hari ini yang menurutnya telah mencapai tahap kemajuan yang membaggakan dalam bidang ekonomi.

Oleh itu, katanya, Pemuda Umno yakin Selangor tidak memerlukan koridor atau wilayah pembangunan ekonomi baru seperti yang diwujudkan di Utara dan Selatan negara.

Selangor diterajui oleh Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (foto) yang juga Pengerusi Umno Selangor serta Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Umno Selangor mempunyai 22 bahagian, dengan seramai 393,421 ahli -- iaitu ketiga teramai selepas Umno Johor (446,189) dan Sabah (426,040).

Menurut laporan Bernama, Khairy berkata, tumpuan sekarang perlu diberikan kepada usaha untuk meningkatkan pembangunan mental dan modal insan di Selangor.

"Selangor tak banyak masalah dalam pembangunan fizikal atau ekonomi tetapi kini mempunyai cabaran lain iaitu bagaimana untuk memajukan modal insan ataupun menangani isu alam sekitar.

"Saya rasa kita tak perlu pun wujudkan lagi satu wilayah pembangunan ekonomi," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda

Umno Bahagian Kapar di Klang semalam.

Katanya, pengwujudan wilayah pembangunan ekonomi Utara dan Selatan itu adalah untuk menyeimbangi pembangunan ekonomi dalam negara.

Seterusnya, kata Khiary (foto), ia membuka peluang kepada orang Melayu untuk maju dan Pemuda Umno akan terus menyokong usaha memperkukuh kecemerlangan yang sedia ada.

'Jangan merajuk'

Sementara itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu akan bersikap profesional dan tidak mudah merajuk jika tokoh yang ditonjolkan pergerakan itu tidak terpilih menjadi calon dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, kepimpinan Puteri Umno tidak akan terikut-ikut dengan sentimen perebutan menjadi calon kerana matlamatnya ialah adalah untuk memantapkan Umno.

"Teras perjuangan Puteri adalah sebagai pembantu unggul kepada parti, selain untuk meningkatkan sokongan padu kepada Umno dan kerajaan bagi mendapat majoriti lebih cemerlang lagi," kata Noraini (foto) selepas merasmikan kursus pemantapan jentera Pilihanraya Puteri Umno bahagian Kuala Krau di Maran semalam.

Beliau mengulas peringatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ahli parti tidak cepat merajuk sehingga sanggup keluar Umno atau Barisan Nasional (BN) jika tidak terpilih sebagai calon.

Noraini berkata perkataan merajuk atau berjauh hati, tidak seharusnya ada dalam kamus setiap ahli Puteri Umno tetapi mereka sebaliknya perlu menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas, sanggup berkorban dan berwibawa.