Beberapa kesatuan gabungan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kepimpinan kongres itu "kembali ke pangkal jalan" untuk memperjuangkan hak pekerja dan bukannya mencari publisiti murahan untuk kepentingan peribadi.

Mereka mendakwa tindakan agresif MTUC sekarang - dengan membelakangkan rundingan - menyebabkan kongres tersebut tidak lagi dihormati dan sekaligus merugikan golongan pekerja.

Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RAM), Abdul Razak Md Hassan mendakwa, kepimpinan Presiden MTUC sekarang, Syed Shahir Mohamud kurang berwibawa untuk menangani isu-isu perkerja seperti tuntutan gaji minima.

"Tindakan beliau membabitkan pemimpin politik pembangkang dalam MTUC, menyebabkan ahli RAM mula mempertikaikan kewibawaan Syed Shahir.

"Sepatutnya yang paling penting, beliau mengutamakan rundingan dan bukannya bertindak secara agresif, seolah-olah mahu memberitahu `aku yang membuat kerja," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Abdul Razak menegaskan demikian ketika diminta mengulas mengenai pergeseran yang berlaku antara Syed Shahir dengan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar yang mendakwa tindakan MTUC sekarang, didalangi oleh pembangkang.

Abdul Razak berkata, RAM - yang mempunyai kira-kira 3,600 ahlinya - tidak menyokong kepimpinan MTUC sekarang dan ekoran itu, mengambil tindakan tidak membayar yuran keahlian tahunan - RM1 bagi setiap ahli - kepada kongres tersebut, sejak dua tahun lalu

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pengusaha Minuman Sdn Bhd, Ibrahim Awang pula membandingkan era kepimpinan Syed Shahir dengan bekas presiden MTUC, Datuk Zainal Rampak yang tewas dalam pemilihan lalu.

Era Zainal Rampak

Ibrahim berkata, kepimpinan Zainal sangat dihormati kerajaan dan majikan, menyebabkan pintu rundingan antara kedua-dua belah pihak sentiasa terbuka dan berjalan lancar.

Zainal juga, katanya, sangat mengutamakan rundingan dalam menangani sebarang isu yang membabitkan golongan pekerja dan sikap tersebut telah berjaya menyelesaikan banyak isu yang timbul.

"MTUC di bawah kepimpinan Zainal pernah mengadakan piket secara besar-besaran kerana membantah satu skim yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tetapi akhirnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah memanggil Zainal dan skim tersebut diberhentikan," katanya.

Ibrahim berkata, sebenarnya ada perbezaan kepimpinan antara Syed Shahir dengan Zainal, terutama dalam pendekatan yang digunakan untuk menyelesaikan isu pekerja yang membabitkan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, Zainal mungkin bernasib baik kerana kedudukan ekonomi negara yang baik ketika itu berbanding denan keadaannya sekarang.

"Mungkin juga faktor tersebut telah mempengaruhi tindakan kepimpinan MTUC sekarang, sehingga dianggap sebagai rakan pembangkang.

"Akibatnya, kerajaan sudah tidak mahu mendengar pandangan MTUC dan ini menyebabkan orang melihat perjuangan pemimpin kongres itu sekarang, gagal membela nasib pekerja," katanya.