Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof memuji penduduk Melayu yang tinggal di sekitar kawasan Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Man Lok di Alor Gajah Melaka kerana tidak mengadakan tunjuk perasaan berhubung pencemaran akibat ternakan babi di kawasan tersebut, tetapi merujuk kepada Umno untuk mencari jalan penyelesaian.

Bagaimanapun, sensitiviti orang Melayu yang merupakan majoriti penduduk di kawasan berkenaan, perlu diambil kira, katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2007) 2007 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

"Perkara ini sudah lama diberi amaran, ada rundingan dan mereka berjanji akan pindahkan ternakan mereka di tempat lain, kita benarkan tetapi hari ini kepercayaan itu telah dinodai.

"Kes ini sudah 50 tahun dahulu, ini masalah kehidupan dan alam sekitar, jangan dipolitikkan (oleh pembangkang)," katanya.

Operasi bersepadu itu yang dijadualkan dilakukan semalam terpaksa ditangguhkan berikutan permintaan penternak yang berjanji untuk memindahkan baki babi itu ke kawasan lain, demikian menurut laporan Bernama.

Operasi tersebut adalah untuk mengurangkan jumlah ternakan babi daripada lebih 100,000 ekor kepada 48,000 ekor di kawasan Bukit Beruang, Paya Mengkuang dan Man Lok di Alor Gajah.

Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) ketika membahaskan isu itu berkata ia bukannya masalah perkauman seperti mana yang dipersoalkan pembangkang, tetapi ia merupakan isu alam sekitar yang melibatkan semua lapisan penduduk.

"(Pembangkang) Jangan nak pertahankan 64 penternak ini sahaja walhal lebih 20,000 rakyat Melaka di kawasan terlibat tidak diperjuangkan," katanya.

'Bukan isu perkauman'

Operasi itu melibatkan polis, Rela, Jabatan Imigresen, Jabatan Veterinar, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Melaka/Negeri Sembilan.

Kerajaan Melaka sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan jumlah ternakan itu berikutan pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan lagi bau busuk najis babi.

Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang membangkitkan isu itu berkata kerajaan harus meneliti dan berbincang dengan semua pihak terlibat mengenai operasi yang didakwanya tidak bersifat "perpaduan nasional".

"Operasi itu menimbulkan ketegangan dan ia tidak sepatutnya berlaku, operasi ini perlu dihentikan. Ini merupakan isu alam sekitar yang perlu diselesaikan dengan baik bukan secara konfrontasi," kata ahli Parlimen dari Ipoh Timur itu.

Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pula menafikan bahawa berlakunya ketegangan ketika operasi semalam.

"Saya berjumpa dengan Yang Dipertua MPAG (Baharom Majid) sendiri dan beliau kata tiada ketegangan berlaku, sebenarnya sejak jadi Yang Dipertua MPAG lagi sudah ada tiga rundingan mengenai isu ini dan penternak bersetuju untuk keluarkan khinzir mereka sendiri," katanya.

Idris berkata kerajaan negeri juga sudah memberi kelonggaran dengan mengadakan satu garispanduan sama ada lebihan ternakan mereka akan dihapuskan, sembelih atau jual sehingga empat tahun iaitu tarikh akhir pada 31 Ogos lalu, bagaimanapun, garis panduan itu tidak diendahkan penternak.

Kerajaan negeri semalam, memberi tempoh sehingga 21 Sept ini untuk penternak mengehadkan 48,000 ekor babi sahaja ditempatkan di tiga kawasan berkenaan.