| Jawatankuasa pemantau pastikan 2,500 babi dipindahkan setiap hari |
|
Sep 6, 07 11:45am |
Sebuah jawatankuasa pemantau akan memastikan sekurang-kurangnya 2,500 ekor babi dikeluarkan dari kawasan Paya Mengkuang, Man Lok dan Bukit Berung di daerah Alor Gajah setiap hari bagi memastikan matlamat untuk mengurangkan jumlah ternakan itu dari 140,000 kepada 48,000 tercapai sebelum 21 September ini.
Jawatankuasa pemantau itu dipengerusikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop yang Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.
"Penternak berjanji untuk memberi jadual jumlah khinzir yang dibawa keluar setiap hari dalam masa terdekat ini," katanya semalam.
Kelmarin, operasi bersepadu oleh jabatan dan agensi kerajaan yang digerakkan untuk menghapuskan jumlah babi yang berlebihan itu, ditangguhkan kerana penternak meminta untuk mengeluarkan ternakan tersebut ke tempat lain, demikian menurut laporan Bernama.
Operasi itu melibatkan polis, Rela, Jabatan Imigresen, Jabatan Veterinar, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Melaka/Negeri Sembilan.
Kerajaan Melaka memberi tempoh kepada penternak itu sehingga 21 September ini untuk membawa keluar ternakan masing-masing dan memastikan hanya 48,000 ekor babi diternak di kawasan Paya Mengkuang.
Hapuskan lebihan babi
Abu Seman yang juga Ketua Umno bahagian Alor Gajah berkata penubuhan jawatankuasa itu adalah hasil mesyuarat berkaitan perkara itu semalam.
Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Multimedia, Sains dan Teknologi Negeri Datuk Seah Kwi Tong, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan Negeri, Koh Nai Kwong; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Hamdin Abdollah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Idderis Kassim; Adun Kuala Linggi, Datuk Abdul Rahman Palit dan wakil penternak.
Abu Seman berkata, kerajaan akan bertindak menghapuskan lebihan ternakan tersebut jika penternak gagal mengurangkan kepada 48,000 ekor dalam tempoh yang ditetapkan.
Kerajaan Melaka sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan jumlah ternakan itu berikutan pencemaran sungai dan udara akibat kegiatan berkenaan, selain bantahan penduduk yang tidak tahan lagi dengan bau busuk najis babi.
Kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan kawasan terbabit sebagai kawasan pelancongan, katanya.
|
|
Berita Terkini dalam SMS
Maxis users
- Taip SMS "BUY MKINIM" dan hantar ke "26000" (caj bulanan RM 5.00)
- Taip "BUY WMKINIM" dan hantar ke "26000" (caj mingguan RM 1.50)
Umobile users
- Taip "ON NW MKINIBM" dan hantar ke "28118" (caj bulanan RM 5.00)
|
 |
| |
|
|
|