Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR hari ini menggesa Badan Pencegah Rasuah (BPR) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap Datuk Hishammuddin Hussein untuk mengenalpasti punca penyelewengan RM8.39 juta dalam pengurusan dan prosedur pembekalan barang-barang keperluan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan.
Dalam memorandum bersama yang diserahkan oleh AMK dan Wanita PKR kepada BPR hari ini, kedua-dua pergerakan itu juga menggesa badan itu supaya menjalankan siasatan terperinci ke atas Menteri Belia dan Sukan sekarang, Datuk Azalina Othman Said.
Ini, menurut memorandum tersebut, ekoran kegagalan Azalina membuat pendedahan awal dan meneruskan prosedur pembelian yang diketahuinya tidak selari dengan kaedah perbelanjaan yang dibenarkan Perbendaharaan Negara melalui Kementerian Kewangan.
Sehubungan itu, AMK dan Wanita PKR menyaran BPR menggesa Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi menggantung jawatan Hishamuddin dan Azalina supaya siasatan dapat dijalankan ke atas mereka tanpa sebarang gangguan.
"Hasil siasatan BPR ini perlu dijadikan Kertas Putih untuk dibahaskan di Parlimen agar sebarang dakwaan ke atas Hishamuddin dan Azalina boleh diambil dengan segera demi menjaga maruah dan integriti kerajaan dan negara," kata memorandum itu lagi.
Di samping itu, katanya, BPR perlu menggesa Jabatan Peguam Negara supaya tidak 'menamatkan' siasatan dengan penutupan kes sebagaimana yang telah berlaku ke atas Datuk Johari Baharum, Datuk Zulkifli Mat Noor dan Tan Sri Musa Hassan sekiranya hasil siasatan ini berjaya membuktikan berlaku penyelewengan tersebut.
"BPR perlu menyiasat apakah wujud hubungkait antara pembekal-pebekal barangan berikut dengan Hishamuddin sehingga menyebabkan keuntungan melampau diperoleh hasil penganugerahan tender secara terus dan tertutup sewaktu Hishammuddin menjadi Menteri Belia & Sukan," kata memorandum tersebut.
Senarai pembelian
Menurutnya, pendedahan itu dibuat berasaskan Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang turut dilaporkan oleh media arus perdana, yang antara lain, memaparkan beberapa pembelian yang tidak munasabah, termasuk pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi IKBN dengan harga melebihi harga pasaran sehingga kerajaan kerugian RM8.39 juta, yang boleh dijelaskan melalui penjelasan terperinci berikut:
Pembelian sebuah kren menara Favelle Favco Hammerhead K180 berharga RM2.73 juta untuk IKBN Chembong dan sebuah Favelle Favco Luffing TD133 berharga RM2.99 juta untuk IKBN Bachok bagi jurusan Operator Kren Menara. Laporan Audit mendapatkan sebutharga bagi kedua-dua kren tersebut berdasarkan spesifikasi yang sama dari pembekal sebenar/pengilang menara kren berkenaan.
Berdasarkan sebut harga yang diterima daripada syarikat berkenaan, didapati harga pasaran bagi kedua-dua kren tersebut ialah RM1.45 juta (Hammerhead) dan RM1.53 juta (Luffing). Ini bermakna jumlah yang dibayar oleh Kerajaan adalah RM2.74 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.
Sebanyak 15 pakej kenderaan terpakai (tidak melebihi 5 tahun) telah dibeli dengan harga RM4.24 juta untuk jurusan Ketuk Mengetuk Dan Semburan Cat. Setiap pakej terdiri daripada 4 jenis kereta iaitu Honda Civic, Toyota Corolla, Proton Wira dan Iswara dengan harga RM280,000 setiap pakej di Semenanjung dan RM291,200 di Sarawak.
Hasil perbandingan antara senarai harga kereta terpakai dengan harga kereta model yang sama yang dibayar oleh kementerian, mendapati kerajaan membayar RM1.44 juta lebih tinggi daripada harga pasaran, dengan nilai RM4,244,800 berbanding RM2,809,000 mengikut harga pasaran. sama yang dibayar oleh Kementerian mendapati Kerajaan membayar RM1.44 juta lebih tinggi daripada harga pasaran
Sebanyak 152 pakej komputer desktop yang dilengkapi perisian Computer Assisted Design and Drafting (CADD) untuk jurusan Pelukis Pelan Seni Bina di IKBN Bachok, IKBN Chembong, IKBN Kinarut dan IKBN Kuala Perlis telah dibeli dengan harga RM4.47 juta atau RM29,385 setiap pakej. Pihak Audit telah mendapatkan sebutharga daripada ACAD Systems Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang membekalkan perisian CADD di Malaysia.
Berdasarkan kepada sebut harga yang diterima dari syarikat berkenaan, didapati harga pasaran bagi setiap pakej komputer bagi model yang sama untuk tujuan komersial adalah RM21,000 sahaja manakala bagi tujuan pendidikan/pembelajaran ialah RM9,250 sahaja. Oleh itu, harga 152 pakej komputer yang dibekalkan kepada IKBN untuk tujuan pembelajaran sepatutnya dalam lingkungan harga RM1.41 juta. Ini bermakna jumlah yang dibayar oleh Kerajaan adalah RM3.06 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.
Sebanyak 430 set papan bancuh simen (Mortar Board) untuk jurusan Jurubina Bangunan dan jurusan Jurulepa Dan Penjubinan di IKBN Bachok, IKBN Chembong, IKBN Kinarut dan IKBN Kuala Perlis telah dibeli dengan harga RM441,610 atau RM1,027 setiap satu.
Mengikut tenaga pengajar IKBN, harga pasaran satu set papan bancuh simen hanya RM150 sahaja dan kos boleh dikurangkan lagi sekiranya pihak IKBN membeli papan sendiri dan pelajar diberi tugas untuk membuat papan bancuh simen sendiri. Dengan harga pasaran berjumlah RM150 setiap satu, harga untuk 430 set hanya RM64,500. Ini bermakna jumlah yang dibayar oleh Kerajaan adalah RM377,110 lebih tinggi daripada harga pasaran.
Tiga unit kabin telah dibeli dengan harga RM425,700 atau RM141,900 setiap satu untuk dijadikan bilik kuliah jurusan Operator Kren Menara di IKBN Bachok dan IKBN Chembong. Pihak Audit telah mendapatkan sebut harga daripada sebuah syarikat tempatan yang menjual kabin (Excel Cabin Sdn. Bhd.).
Mengikut sebut harga tersebut, harga sebuah kabin yang sama termasuk upah pengangkutan, kos memasang dua penghawa dingin dan sewa kren adalah RM20,000 sahaja. Berdasarkan kepada harga tersebut, pada perkiraan Audit, harga pasaran untuk tiga unit kabin adalah RM60,000 dan ini bermakna harga yang dibayar oleh kementerian adalah RM365,700 lebih tinggi daripada harga pasaran.
Sebanyak 17 set buku teknikal (technical books) dengan 10 tajuk telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di IKBN Bachok, IKBN Chembong dan IKBN Kuala Perlis dengan harga RM181,900 atau RM10,700 setiap set. Kesemua 10 tajuk buku tersebut boleh dibeli dari Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka dengan harga RM417 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar oleh Kementerian adalah RM174,811 lebih tinggi daripada harga pasaran.
Sebanyak 90 set Technical Pens Faber Castell (model - TGI-S0.25, 0.35, 0.50, 0.70/USA) telah dibeli untuk jurusan Reka Bentuk Landskap di IKBN Bachok, IKBN Chembong dan IKBN Kuala Perlis dengan harga RM103,190.40 atau RM1,146.56 setiap set.
Pihak Audit telah mendapatkan sebut harga daripada pengedar barangan tersebut di Malaysia [ A.W. Faber Castell (M) Sdn. Bhd.] untuk model yang sama. Mengikut sebut harga tersebut, harga bagi satu set adalah RM160. Ini bermakna harga yang telah dibayar oleh Kementerian bagi 90 set pen adalah RM88,790 lebih tinggi daripada harga pasaran.
Sebanyak 82 set Technical Pens Steadler Mars (model 700S4A/Germany) telah dibeli untuk jurusan Pelukis Pelan di IKBN Bachok, IKBN Chembong, IKBN Kinarut dan IKBN Kuala Perlis dengan harga RM44,810.54 atau RM546.47 setiap set.
Tinjauan harga pasaran yang dijalankan oleh pihak Audit mendapati satu set peralatan ini hanya berharga RM120 sahaja dan ini bermakna harga yang dibayar oleh Kementerian adalah RM34,970 lebih tinggi daripada harga pasaran.
Sebanyak lima peralatan lain iaitu Philips Screwdriver, Kamera Digital, pasu plastik, settee 6 seater dan 2 Tonne Jack telah dibeli dengan harga yang tidak munasabah dan mengakibatkan perbelanjaan lebih berjumlah RM110,221.