Peguam kepada pihak yang mendakwa sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menggesa Ketua Setiausaha Negara (KSN) memulakan prosedur tatatertib terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan, Mohd Zafir Ibrahim.

Emirul Sarifudin Nor Azmi mendakwa keengganan Mohd Zafir mewartakan Proklamasi Perkara 10 dan 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) bertentangan dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 15 Sept lalu.

Menurutnya, MMKN dalam mesyuaratnya telah memutuskan secara sebulat suara untuk menerima dan melaksanakan Proklamasi Perkara 10 dan 11 yang dikeluarkan Undang Yang Empat pada 19 April.

Dia berkata proklamasi itu kemudian telah ditandatangani Menteri Besar, Ismail Lasim pada 3 Ogos, manakala MMKN turut mengarahkan SUK untuk mewartakannya.

"Pada 17 September 2026, YB SUK sebaliknya mengeluarkan kenyataan awam menyatakan pendirian tidak mahu mewartakannya dengan maksud untuk menentang Proklamasi tersebut. Tindakan ini merupakan salah laku," kata Emirul dalam kenyataan hari ini.

Emirul mendakwa tindakan SUK mengingkari arahan dan keputusan MMKN yang dipengerusikan Ismail bertentangan dengan Peraturan 4(2)(i) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Dia turut mendakwa kenyataan awam yang dibuat SUK pada 17 September - sekiranya dibuat tanpa persetujuan bertulis Menteri Besar dan/atau MMKN - adalah melanggar Peraturan 19(1) dan 19(2) peraturan sama.

Pada 17 Sept lalu, Ismail berkata kerajaan negeri akan mewartakan Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru bagi menggantikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menurut ismail pentadbiran negeri memutuskan untuk menerima pemasyhuran oleh Undang Yang Empat untuk menurunkan Tuanku Muhriz.

Pengisytiharan tersebut dikeluarkan oleh tiga Undang yang dipertikaikan iaitu Mubarak Thahak (Sungai Ujong), Maarof Mat Rashad (Jelebu) dan Abdul Rahim Yasin (Rembau) pada 19 April.

Turut menandatangani proklamasi itu ialah Undang Johol, Muhammad Abdullah, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al- Qadri dan Dato Syahbandar Sungai Ujong, Badarudin Mohd Khalid.

Pengisytiharan melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz itu dibuat selepas para pembesar berkenaan dikatakan menjalankan siasatan sendiri terhadap pemerintah tersebut pada 5 Mac berhubung dakwaan pelanggaran dalam pelaksanaan tugas baginda.

Mereka berpendapat bahawa pelanggaran – yang tidak diperincikan itu – dilakukan secara sengaja, sekali gus mencemarkan imej institusi diraja.

Bagaimanapun Mohd Zafir memaklumkan pihaknya tidak akan mewartakan atau melaksanakan proklamasi tersebut.

Dalam kenyataannya, Mohd Zafir berkata pejabatnya menerima nasihat daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa proklamasi itu adalah tidak sah.

Dia juga menyatakan pejabatnya juga merujuk perkara itu kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa dan perlembagaan negeri.

"Dari sudut perundangan, pihak pentadbiran ini juga menerima pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) bahawa anggota Exco Negeri Sembilan tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti atau kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk membuat sebarang pengumuman berhubung proklamasi tersebut," katanya.

Dia juga menambah tiada asas undang-undang bagi anggota exco untuk bergantung pada proklamasi yang dipertikaikan sebelum ini bagi tujuan pengumuman mereka.

Melampaui bidang kuasa

Bagaimanapun, Emirul mendakwa SUK telah melampaui bidang kuasa (ultra vires) kerana tidak boleh menentang keputusan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS serta keputusan MMKN.

"Beliau juga sama sekali tidak boleh menerima arahan daripada pihak luar, termasuk YB Penasihat Undang-undang Negeri dan/atau Jabatan Peguam Negara, apatah lagi cenderung kepada pendapat peribadi yang bertentangan dengan UUTKNS dan keputusan pihak berkuasa Negeri.

"Tindakan YB SUK menentang keabsahan Proklamasi tersebut secara langsung telah menderhaka kepada Raja Pemerintah yang sah menurut UUTKNS dan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sehubungan itu, Emirul menggesa MMKN meminta KSN memulakan prosedur tatatertib terhadap SUK mengikut peraturan berkaitan dan memindahkan Mohd Zafir daripada jawatan itu serta-merta.

Selain itu dia turut menegaskan bahawa Proklamasi Perkara 10 dan 11 UUTKNS telah sempurna daripada aspek pentadbiran selepas ditandatangani Ismail pada 3 Ogos.

Justeru katanya, pewartaan bukan syarat kepada keabsahan atau penguatkuasaan proklamasi berkenaan.

Dia mendakwa tindakan SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan dan Jabatan Peguam Negara yang meletakkan pewartaan sebagai syarat berkuat kuasanya proklamasi, sedangkan keperluan itu tidak dinyatakan dalam UUTKNS, boleh disifatkan sebagai usaha memindahkan dan merampas kuasa kedaulatan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS kepada pihak berkenaan.

"Pandangan mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan, termasuk Jabatan Peguam Negara, hanyalah pendapat dan bukan perintah yang mengikat.

"Yang mengikat YB SUK ialah keputusan eksekutif MMKN," tegasnya.