PAS menyerahkan kepada ahli untuk memberi sumbangan kepada tabung solidariti bagi membayar denda RM50 juta dikenakan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata dia juga yakin jumlah itu akan dapat dikumpulkan.

“PAS menyerahkannya kepada ahli untuk menyumbang kepada tabung tersebut.

“Saya yakin jumlah itu akan dapat dikumpulkan, atas dasar mempertahankan prinsip keadilan untuk semua,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika ditanya adakah PAS akan memberi sumbangan kepada tabung yang dilancarkan Umno semalam.

Setakat 9.30 pagi tadi, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dasuki memaklumkan kutipan mencecah RM1 juta.

Dana RM50 juta itu diperlukan Najib sebagai salah satu syarat susulan pengampunan bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang sekali gus membolehkan bekas presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bekas ahli parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM42 juta milik SRC International.

Bekas presiden Umno itu pertama kali disabitkan atas semua pertuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 selepas menjalani perbicaraan panjang, dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Tuan Ibrahim turut menyifatkan pengampunan bersyarat itu tidak bermakna sekiranya gagal memenuhi denda RM50 juta yang ditetapkan itu.

“Oleh kerana syarat tahanan dalam rumah hanya dibenarkan dengan syarat beliau menyelesaikan denda RM50 juta, ia sesuatu yang tiada makna sekiranya gagal memenuhi syarat tersebut,” katanya.