Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Rahman Yakub hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau menyokong anak saudaranya, yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Salleh Jafaruddin, bagi menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Dalam satu sidang akhbar di kediamannya di Kuching, Rahman, yang pernah menjadi Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981, berkata, terserahlah kepada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk memilih pengganti Taib.

Sambil menafikan spekulasi bahawa beliau menyokong Salleh mengisi jawatan itu, Rahman, yang juga bapa saudara kepada Taib, berkata beliau tidak ingin mencampuri urusan politik Sarawak, termasuk menentukan siapakah yang akan menjadi Ketua Menteri selepas Taib.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak berbuat begitu kerana saya sudah bersara daripada politik sejak lama dulu," kata Rahman, 79, yang pernah menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun mulai 1981.

Menurut laporan Bernama, Rahman berkata beliau perlu menjelaskan perkara ini setelah dimaklumkan oleh adiknya Teh Yakub semalam bahawa seorang anak saudaranya menghebahkan kepada orang ramai di Miri bahawa beliau ada menyebut nama Salleh, yang juga sepupu Taib, sebagai ketua menteri akan datang.

"Bukan saya atau sesiapa saja boleh menentukan pengganti Taib, tetapi PBB dan komponen BN," katanya.

Beliau berkata walaupun mengikut tradisi jawatan Ketua Menteri disandang oleh pemimpin PBB, tetapi orang berkenaan juga perlu mendapat sokongan padu daripada parti komponen BN.

"Saya ingin jelaskan hari ini bahawa saya membantah sekeras-kerasnya perbuatan mereka yang menggunakan nama saya untuk menyokong seseorang yang ingin menjadi ketua menteri akan datang," katanya.

Sambil menjelaskan bahawa beliau gembira dengan cara hidup yang dilaluinya sekarang, Rahman berkata beliau berharap penafian beliau hari ini akan menamatkan cakap-cakap yang mengaitkannya dengan isu pengganti Taib.

Ditanya tentang hubungan beliau dengan Taib, Rahman berkata perbezaan pendapat tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan antara mereka.

"Sudah tentulah saya masih bertegur sapa dengan Taib kerana beliau anak saudara saya, apabila kami ke masjid, kami bertemu, kami bersembang, kami berjabat salam dan kadangkala berpelukan," katanya sambil menambah bahawa berbeza pendapat adalah perkara lumrah dalam hidup manusia.

Tanpa menjelaskan tentang perbezaan pendapat yang wujud antara mereka, Rahman berkata setiap orang mempunyai gaya pentadbiran tersendiri.

"Bagi saya, perbezaan pendapat boleh berlaku kerana apa saja, dari segi pandangan politik atau cara pembangunan patut dilaksanakan, tapi ia tidak boleh dianggap sebagai suatu halangan, bak kata pepatah Melayu, air dicincang tidak akan putus," katanya.

Rahman menyifatkan spekulasi yang tidak henti-henti dibuat tentang hubungan beliau dengan Taib sebagai perbuatan pihak yang hanya ingin mencari kepuasan peribadi.

ahman, yang pernah menjadi presiden Permas pada 1987 sebelum meletak jawatan pada 1988 selepas mencabar parti gabungan BN pimpinan Taib pada pilihanraya negeri 1987, kini menumpukan masanya terhadap kegiatan keagamaan, termasuk mengadakan kelas agama untuk orang dewasa dan kanak-kanak di dalam dan luar negara.