Kumpulan Utusan telah menerbitkan semula buku Mei 13: Sebelum dan Selepas tulisan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman untuk menjawab "segala tohmahan dan kesimpulan" oleh pihak yang berkepentingan bahawa tragedi itu dirancang oleh 'kapitalis Melayu'.

Jelas sekali, penerbitan semula buku ini bertujuan untuk menangkis kesimpulan dalam buku bertajuk May 13 Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 tulisan pengarah Suaram, Dr Kua Kia Song.

Dalam bukunya itu, Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.

Beliau membuat kesimpulan tersebut hasil kajiannya selama tiga bulan dengan meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan diklasifikasi sebagai rahsia.

Versi rasmi pula menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.

Tujuan penerbitan semula buku Tunku itu oleh Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd, jelas dinyatakan dalam prakata buku tersebut oleh Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud dari Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang bertarikh 25 Ogos 2007.

Beliau menyifatkan penerbitan semula buku Tunku itu sebagai tepat pada waktunya "memandangkan pada akhir-akhir ini terdapat usaha oleh pihak-pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan menimbulkan kekeliruan tentang peristiwa berdarah 13 Mei itu".

'Punca tragedi'

"Pertengahan Mei lalu, sebuah buku yang memperkatakan tentang peristiwa 13 Mei juga telah diterbitkan. Namun pendekatan yang digunakan jelas menolak bingkai kepercayaan lama bahawa kekacauan 1969 berpunca daripada ketidakseimbangan dalam sosioekonomi kaum di negara ini.

"Sebaliknya, penulis buku tersebut mengemukakan tesis baru, iaitu kapitalis Melayu yang diketuai oleh Tun Abdul Razak Hussien, yang cuba untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman menjadi punca utama kepada tercetusnya peristiwa itu," katanya.

Prof Dr Nik Anuar bagaimanapun tidak menjelas secara terus terang bahawa yang dimaksudkannya ialah buku tulisan Dr Kua.

Menurutnya lagi, walaupun sukar untuk mencari motif sebenar penulis buku itu membangkitkan sejarah berdarah 13 Mei, "namun trend semasa menunjukkan wujud usaha untuk memburuk-burukkan pemimpin negara, khususnya Tun Abdul Razak, Datuk Harun Idris, Tun Mohamad Ghazali Shafie dan lain-lain, termasuk anggota keselamatan".

Pandangan serong tersebut, katanya, jelas sekali bersifat prejudis dan olahan perbincangannya - sekiranya dibiarkan tidak dijawab - ditakuti akan dianggap sebagai satu dokumen yang sah dan meligitimasikan dakwaan bahawa peristiwa 13 Mei itu adalah dirancang oleh 'kapitalis Melayu'.

Oleh itu, katanya, usaha menerbitkan semula buku Mei 13: Sebelum dan Selepas "diharap dapat menjawab segala tohmahan dan kesimpulan yang dibuat oleh pihak yang berkepentingan tentang kepimpinan negara, khususnya Tun Abdul Razak.

Dalam buku setebal 195 muka surat itu, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis.

Kedua-dua golongan ini, tulis Tunku, sejak sebelum merdeka lagi, telah berusaha untuk mencetuskan kekacauan di negara ini.

Perebutan kuasa

Menurut Tunku, golongan itu terlibat dalam mencetuskan ketegangan dalam peristiwa Hartal (1967), hukuman gantung (1968) dan pemulauan pilihanraya (1969), perarakan mayat pada 9 Mei dan perarakan kemenangan oleh parti-parti pembangkang pada 12 Mei 1969.

Akibat provokasi oleh golongan ini, menurut Tunku, ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku.

"Dakwaan kononnya rusuhan kaum dirancang oleh 'kapitalis Melayu' adalah tidak benar sama sekali. Dalam penulisannya, Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai satu rampasan kuasa," kata Prof Dr Nik Anuar.

Katanya, memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu adalah segelintir ahli Umno yang beliau labelkan sebagai 'pelampau' ataupun 'bijak pandai' yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai perdana menteri.

"Tetapi perasaan tidak puashati bukan menjadi penyebab kepada berlakunya rusuhan. Hal ini telah diperjelaskan oleh Tunku dalam bab 15 bertajuk 'sepucuk surat' dan bab 16 bertajuk 'perebutan kuasa dalam Umno'," tambahnya.

Sehubungan itu, kata Prof Dr Nik Anuar, buku Tunku itu harus dibaca dan dikaji oleh rakyat negara ini, terutam golongan belia, "agar merek tidak terjebak dalam fitnah pihak tertentu yang cuba memutarbelitkan fakta dan memburukkan pemimpin yang telah berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair".

Katanya, buku tersebut ditulis oleh tunku berasaskan pengalamannya yang lama sebelum dan semasa menjadi perdana menteri serta bersandarkan sumber sahih yang telah diberikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Keadaan ini berbeza dengan buku yang diterbitkan sebelum ini yang menyandarkan penulisannya semata-mata kepada sumber diplomat dan wartawan asing yang kesahihan sumbernya adalah diragui," kata Prof Dr Nik Anuar.

Buku ini boleh dibeli melalui kinibooks. Sila layari http://www.kinibooks.com/product_info.php?products_id=759