Polis mengisytiharkan perhimpunan aman Malam Solidariti untuk Mangsa ISA, anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di Dataran Merdeka di ibunegara esok sebagai satu perhimpunan haram.

Sehubungan itu, pihak polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka akan ditutup bagi menghalang perhimpunan itu diadakan.

Katanya, pihak penganjur perhimpunan itu tidak membuat permohonan permit dan juga merupakan badan yang tidak berdaftar.

ACP Zulkarnain berkata, mereka hanya menghantar surat makluman mengenai aktiviti itu kepada polis bukannya surat permohonan permit.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya hari ini, beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terlibat mengikut Akta Polis kerana menyertai perhimpunan tersebut.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, ACP Zulkarnain berkata permohonan permit mesti dibuat dengan mengisi satu borang permohonan khas.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada GMI dalam satu pertemuan Rabu lalu.

"Mereka enggan mengisi borang tersebut," kata Zulkarnain kepada Malaysiakini.

Sementara ituj, Presiden GMI, Syed Noh pula berkata GMI telahpun mengemukakan borang-borang yang diperlukan pada 26 Disember 2007.

“Kita telah mengemukakan dokumen-dokumen perlu, tetapi mereka (pihak polis) mendakwa telah kehilangannya dan meminta kita mengisi bagi kali kedua di pertemuan tersebut," kata Syed Ibrahim.

Menurut, 'borang kedua' itu tidak diserahkan ia menjadi tanggungjawab pihak polis untuk mengesan borang permohonan yang asal.

Syed Ibrahim berkata, GMI mahu meneruskan program tersebut sebagai penegasan terhadap hak mereka untuk berhimpun secara aman di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menegaskan bahawa ini adalah satu perhimpunan aman. Ianya untuk menyalakan lilin sebagai tanda simpati kepada mangsa tahanan ISA. Ia bukan satu perarakan atau perhimpunan," katanya.

Menurut beliau lagi, adalah sudah terlambat untuk memaklumkan kepada penyokongnya supaya jangan menghadiri program malam esok itu.

Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya menjangka 100 hingga 200 orang akan menghadiri perhimpunan tersebut yang antara lain untuk menyalakan lilin sebagai tanda simpati kepada mangsa tahanan ISA.

Beliau berkata, GMI telah mengemukakan rayuan hari ini terhadap keputusan Zulkarnain itu kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin.

Percubaan kedua

Sebelulm ini, GMI telah cuba mengadakan program tersebut pada 22 Disember 2007, tetapi ditangguhkan kepada 5 Januari kerana polis mengisytiharkannya sebagai perhimpunan haram.

Berikutan itu, GMI mengemukakan borang permohonan untuk mengadakan program tersebut pada 26 Disember dan diikuti dengan sepucuk surat pad 28 Disember.

Rabu lalu, Zulkarnain menjawab surat tersebut menolak permohonan permit tersebut, antara lain, atas alasan keselamatan dan GMI bukan sebuah badan berdaftar.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 90 tahanan ISA di Pusat Tahanan Kamunting, Perak.

Yang terbaru ialah lima pemimpin Hindraf yang ditahan pada 13 Disember 2007 atas alasan keselamatan.