Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR dakwa pendatang Burma didaftar di Pekan
Diterbitkan:  Mar 4, 2008 1:11 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa beratus-ratus pengundi luar dari kalangan pendatang Burma telah dimasukkan ke dalam daftar pengundi bagi kawasan Parlimen Pekan.

Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali berkata pihaknya mendapat maklumat tersebut daripada sumber-sumber yang sangat dipercayai.

"Mereka yang mengetahui menganggap tujuannya ialah untuk menjamin kemenangan besar bagi calon Umno di sana, Najib Abdul Razak," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini

Syed Husin berkata, dalam pilihanraya 1999, Najib menang dengan majoriti hanya 241 undi.

"Selepas itu beribu pengundi pos tentera dibawa masuk. Kemenangan Najib bagi tahun 2004 jauh lebih besar. Kali ini ceritanya berlainan," tegasnya.

Syed Husin mendakwa, dipercayai dalam fasa pertama, 200 keluarga dibawa masuk ke Kampung Baru Cenderawasih.

'Disedia rumah'

Menurutnya, kampung tersebut dibangunkan dengan bantuan jabatan-jabatan kerajaan tanpa memerlukan usaha dari pendatang tersebut.

"Mereka diberi rumah percuma, tanah dua ekar percuma yang ditanam dengan nenas dan bantuan RM300 sebulan dari jabatan kebajikan masyarakat.

"Didapati bahawa kad pengenalan bagi mereka ini dikeluarkan di Putrajaya. Kod yang digunakan bagi kad pengenalan mereka ialah untuk Kedah, akan tetapi mereka didaftarkan sebagai pengundi di Pekan," tambahnya.

Syed Husin juga berkata, sumber yang dipercayai memberitahu pihaknya bahawa tidak kurang dari 2,000 pengundi seperti itu telah didaftarkan di kawasan mengundi yang berlainan di seluruh Pekan.

"PAS pernah membuat bantahan tiga kali terhadap sesetengah nama baru yang dimasukkan, apabila senarai pengundi dipamerkan.

"Beberapa nama pengundi berjaya dikeluarkan kerana orangnya tidak dapat dicari. Akan tetapi dipercayai banyak lagi nama masih belum dikeluarkan.

Penduduk bantah

"Mereka ini akan dibawa mengundi, kita tahu untuk siapa pada 8 (Mac) ini. Nampaknya satu penipuan besar sedang berlaku," tambahnya.

Dalam pada itu, Syed Husin berkata, sekumpulan anak-anak Pekan telah membuat bantahan mengapa 200 keluarga luar ini diberi rumah dan tanah percuma.

"Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pula digunakan untuk membersihkan kawasan serta rumah yang akan didiami keluarga-keluarga luar itu.

"Layanan sangat istimewa ini tidak pernah diberikan kepada anak-anak Pekan sendiri. Mengapakah mereka orang luar diberi layanan sebegitu istimewa?

"Apa sebab anak-anak tempatan tidak mendapat layanan yang serupa?" soal Syed Husin.

ADS