Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rumah pengerusi SPR disimbah cat
Diterbitkan:  Mar 6, 2008 12:53 PM
Dikemaskini: 4:27 PM

Rumah pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman hari ini disimbah cat warna merah, dipercayai sebagai membantah keputusannya membatalkan penggunaan dakwat kekal di jari pengundi.

Kejadian itu, dipercayai awal pagi atau tengah malam tadi, diketahui pagi tadi oleh pekerja rumahnya di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur.

abdul rashid ec chairman house red paint splashed 060308 repaint Abdul Rashid memberitahu Malaysiakini , beliau percaya kejadian itu bermotifkan politik.

Perbuatan menyimbah cat merah bahagian pagar rumahnya di Lorong Bukit Pantai 7, Lembah Pantai itu dipercayai dilakukan tiga lelaki kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Abdul Rashid bagaimanapun hanya menyedari perkara itu pada pukul 7.30 pagi ini ketika beliau menunggu pemandunya untuk keluar menuju ke pejabatnya.

SPR kelmarin membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal, hanya empat hari sebelum pengundian pada Sabtu ini.

Pengumuman mengejutkan itu dibuat pada satu sidang akhbar di yang turut dihadiri ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beberapa hari sebelumnya, pembangkang menegur SPR yang kelihatan berat hati untuk memperkenalkan penggunaan dakwat tersebut.

Susulannya, beberapa pemimpin utama badan pemantau yang diiktiraf SPR, Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel), termasuk pengerusinya Abd Malek Hussin, menarik diri sebagai pemerhati pada 8 Mac ini.

Sementara itu, Abdul Rashid dilaporkan akan diberi perkhidmatan polis pengiring untuk keselamatannya.

L

aporan laman web The Star petang ini menyebut seorang pegawai polis, Muhammad Sabtu berkata, contoh cat tersebut telah dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.

Laporan itu juga menyebut, tiga lelaki dalam sebuah kereta berwarna gelap dilihat di luar rumah tersebut pada kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Seorang lelaki turun bersama tiga tin dan mencurahkan kandungannya di pagar dan dinding. Tin tersebut ditemui di luar rumah

tersebut.

Sewaktu ditemui Malaysiakini di rumahnya, Abdul Rashid turut menjawab soalan mengenai pembatalan cadangan tersebut.

Malaysiakini: Adakah Tan Sri tidak sedar tentang undang-undang tersebut?

Abdul Rashid : Kita tahu mengenai keperluan undang-undang tersebut, tetapi kita ingat ia tidaklah begitu buruk dan kita boleh mengatasinya. Tapi nampaknya seperti kami tidak boleh (melaksanakannya). Dan atas nasihat pejabat Peguam Negara, kita memutuskan untuk membatalkannya. Kita mahu menggunakan dakwat itu. Kami memang hendak menggunakannya tetapi batasan perundangan menghalang kami daripada melaksanakan cadangan tersebut.

Bagaimana dengan pindaan undang-undang?

Parlimen yang buat. Sekarang telah terlambat, kerana parlimen sudah dibubarkan.

Tapi cadangan menggunakan dakwat itu diterma Julai lalu...

Ia perlu dibatalkan sekarang.

Adakah rumah Tan Sri disimbah cat kerana ada yang menganggap Tan Sri berat sebelah, dan tempoh perkhidmatan Tan Sri tidak sepatutnya dilanjutkan?

(Dalam nada yang tinggi) Di mana saya berat sebelah? Beritahu saya, macam mana saya berat sebelah?

Ambil contoh isu liputan media. Sesetengah media membantu parti pemerintah dan pengkritik menuding jari ke arah kami. Apa yang kami boleh buat? Ia bukan bawah bidang kuasa kami.

Di mana kami ada kuasa, tugas kami sempurnakan 100 peratus. Di mana kami tidak ada kuasa, jangan tuding jari ke arah kami.

Mereka hendak mengugut saya. Saya tidak fikir ia perlu. Saya tidak seharusnya diugut dengan cara ini. Saya ada tugas yang perlu dilaksanakan dan saya telahpun memberi jaminan bahawa pilihanraya kali ini akan dijalankan secara adil.

Terdapat dakwaan bahawa anggota tentera mengundi dua kali...

Mereka mesti menunjukkan bukti berlakunya penyelewengan. Dan jika mereka ada bukti, failkan petisyen pilihanraya dan biar mahkamah putuskan. Setakat ini, tiada yang tampil memberi bukti konkrit.

Apa yang hendak dibuat dengan dakwat yang telah dibeli itu?

Kita akan menguruskannya selepas pilihanraya umum ini. Pihak urusetia tahu apa nak buat.

Bolehkah dakwat itu digunakan untuk pilihanraya umum akan datang?

Kita mesti menjaga undang-undang terlebih dahulu. Tetapi itu adalah perkara dasar dan terserahlah kepada pembuat dasar. Kerajaan sedar mengenainya dan kita akan lihat apa yang akan berlaku selepas pilihanraya.

ADS