Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad Said MB baru Terengganu?
Diterbitkan:  Mar 12, 2008 1:21 PM
Dikemaskini: Mar 13, 2008 1:06 PM

kemaskini 9pm Pengerusi BN Terengganu Datuk Idris Jusoh sedang menyaksikan drama besar dalam tempoh terdekat apabila namanya kini bukan lagi satu-satunya calon Menteri Besar.

Pihak istana dikhabarkan memohon tiga nama, termasuk Ahli Dewan Undang Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said dan Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Rosol enggan memberi sebarang ulasan ketika dihubungi petang tadi.

Usaha untuk menghubungi Ahmad gagal. Beliau disebut-sebut menggantikan Idris.

Wakil rakyat Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera, disebut-sebut turut dinamakan untuk dipertimbangkan.

Bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang tadi, beliau menyatakan tidak tahu-menahu namanya tersenarai.

Beliau juga berkata Umno berusaha memastikan Idris meneruskan khidmatnya sepenggal lagi.

Di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur kini khabar bertiup kencang Idris mungkin ditamatkan perkhidmatannya akibat tidak mendapat perkenan pihak istana.

idris jusoh 00 Desas-desus tentang Idris, yang memegang jawatan itu pada 2004 susulan kejayaan BN merampas Terengganu daripada PAS, akan digantikan berkembang mulai Isnin selepas istiadat melafaz surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar yang dijadual di Istana Maziah ditangguhkan ke suatu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Ketika ditemui wartawan semalam, Idris jelas berasa tidak senang untuk mengulas isu pelantikan semulanya sebagai Menteri Besar.

Idris, yang kelihatan terganggu apabila terus ditanya persoalan tersebut, terus menjawab "(awak) faham ke tak? Saya kata (pelantikan MB) itu atas istana (tentukan). Saya tidak perlu jawab soalan tersebut."

Menurut Bernama , sebelum itu Idris diminta mengulas spekulasi bahawa beliau mungkin tidak dapat meneruskan khidmatnya sebagai Menteri Besar akibat ura-ura ditolak oleh pihak istana.

Sementara laman web Utusan Malaysia pula melaporkan semalam, "Idris kelihatan sugul" dan enggan mengulas lanjut.

Selain Terengganu, BN juga berdepan masalah pelantikan Menteri Besar di Perlis apabila Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa dihalang pihak yang tidak senang dengannya.

ADS