Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB T'ganu: Tiada campur tangan Agong
Diterbitkan:  Mar 19, 2008 1:23 AM
Dikemaskini: 7:59 PM

Peguam Negara lewat malam ini mengeluarkan kenyataan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon menteri besar Terengganu.

"Baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar," kata Tan Sri Abdul Gani Patail seperti dilaporkan.

"Ini adalah kerana menurut Perkara 34(1) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsi Baginda sebagai Raja Negeri Terengganu kecuali fungsi sebagai Ketua Agama Islam."

gani patail ghani patail Abdul Gani menambah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan Menteri Besar, lapor beberapa akhbar dalam talian lewat malam tadi.

"Baginda menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan Menteri Besar terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, dan baginda tidak mempunyai apa-apa peranan di bawah undang-undang dalam pelantikan tersebut."

Pelantikan itu yang tertangguh sehingga kini menimbulkan tanda tanya di Kuala Lumpur dan kebingungan di negeri itu.

Walaupun BN menang selesa dengan mengekalkan 24 daripada 32 kerusi tetapi pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh gagal mengangkat sumpah sejak berkahir pilihanraya umum 8 Mac.

Beberapa nama terus disebut-sebut bakal menggantikan Idris dengan alasan wakil rakyat Jertih itu tidak diperkenan oleh pihak istana.

Terbaru, nama Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu) pula menjadi bualan penduduk Terengganu.

Sebelum ini tiga nama disebut-sebut bakal pengganti Idris: Datuk Ahmad Said (Kijal), Datuk Rosol Wahid (Ajil) dan Datuk Mohamad Awang Tera (Chukai) - ketiga-tiganya exco negeri pada penggal lalu.

Idris memegang jawatan tersebut sejak 2004 selepas BN menang besar dengan merampas negeri itu daripada PAS dalam kempen 'gelombang biru'.

Minggu lalu, 22 wakil rakyat BN - tidak termasuk Idris dan seorang lagi yang tidak disebut namanya - dilaporkan telah menyatakan sokongan untuk meneruskan khidmat Idris.

Bagaimanapun sehingga hari ini tiada pengumuman tentang majlis angkat sumpah.

Sebaliknya desas-desus Idris tidak dilantik semula terus bertiup kencang.

Beliau semalam menyeru penduduk Terengganu bertenang ketika negeri itu tiada ketua kerajaan.

ADS