Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Ada pihak eksploitasi isu MB
Diterbitkan:  Mar 25, 2008 2:33 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Perdana Menteri mendakwa pihak-pihak tertentu sedang mengeksploitasi krisis pelantikan menteri besar Terengganu untuk kepentingan agenda masing-masing.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta mengulas Datuk Ahmad Said, yang dilantik oleh pihak istana kelmarin, yang mula menjalankan tugas rasmi walaupun belum mengangkat sumpah.

"Kita tahu keadaan di peringkat bawah. Ada pihak yang mengeksploitasi keadaan itu untuk kepentingan mereka. Jadi wujud macam-macam kekeliruan.

"Kita mesti bertenang dan pada masa yang sama tidak mengabaikan isu yang perlu ditangani," katanya selepas menyampaikan ucaptama di seminar pelaburan Invest Malaysia 2008.

Abdullah bagaimanapun tidak memperincikan maksud "eksploitasi" yang sedang berlaku di negeri itu.

Beliau mengulangi kesediannya untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyelesaikan krisis pelantikan menteri besar itu - perebutan antara Ahmad dengan pengerusi BN negeri Datuk Seri Idris Jusoh yang kini masuk hari ke-17 selepas pilihanraya umum 8 Mac.

Dalam ucaptamanya, Abdullah berkata, Papan Utama dan Kedua di Bursa Malaysia akan disatukan bagi menampung syarikat besar yang telah mantap manakala Pasaran Mesdaq akan disusun semula, dalam usaha menambah baik pasaran ekuiti.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, langkah itu akan mewujudkan satu papan yang disatukan bagi syarikat yang lebih mantab yang mencatatkan rekod pencapaian yang kukuh.

Penyusunan semula Pasaran Mesdaq pula akan membolehkan syarikat yang secara relatifnya kecil memasuki pasaran ekuiti di peringkat lebih awal dalam kitaran kewujudannya.

Abdullah berkata kerajaan akan menubuhkan satu kerangka yang mewujudkan pasaran bagi Bursa Malaysia.

Para penghasil pasaran boleh termasuk pedagang persendirian di bank komersil dan pelaburan serta pedagang asing.

"Mereka akan digalakkan hadir di dalam pasaran pada setiap masa, bagi menyediakan kecairan bagi pasaran," kata Abdullah.

Inisiatif ini akan membantu penetapan harga, menggalakkan inovasi dan meningkatkan kecairan di dalam pasaran, katanya.

ADS