Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Harapan Idris makin malap?
Diterbitkan:  Mar 26, 2008 2:06 PM
Dikemaskini: 4:36 PM

kemaskini 11:48pm Bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri di pejabatnya di Putrajaya.

rosol wahid Dihubungi Malaysiakini , setiausaha perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rosol Wahid bagaimanapun tidak menjelaskan butiran perbincangan itu.

Idris dilaporkan ditemani beberapa orang wakil rakyat BN negeri itu.

Difahamkan, beliau tidak merancang mengadakan sidang akhbar hari ini.

Pertemuan kira-kira sejam itu diadakan tidak lama selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung krisis pelantikan menteri besar Terengganu pagi ini.

Dua pertemuan besar ini dipercayai dapat meredakan krisis yang berlarutan di negeri itu sejak tamatnya pilihanraya umum 8 Mac.

Satu sumber dekat dengan pemimpin Umno memberitahu Malaysiakini hari ini, pertemuan antara Abdullah dengan Tuanku menunjukkan "tanda-tanda positif" ke arah penyelesaian.

Bentuk penyelesaian itu, tambah sumber, bagaimanapun belum jelas.

Difahamkan, kemungkinan penyelesaian itu termasuklah menamakan calon ketiga daripada kumpulan penyokong Idris.

Menurut satu laporan, Rosol berkata semua wakil rakyat BN yang berada di Kuala Lumpur kecuali Idris kembali ke Terengganu hari ini.

Semua 22 Adun itu akan tetap setia pada Idris tetapi menyerahkan perkara tersebut kepada keputusan Abdullah, lapor laman web New Straits Times malam ini.

Rosol menggesan Abdullah agar "terus tegas" melantik Idris. "Kami hanya mengambil arahan daripada Perdana Menteri atau Idris," beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau juga enggan mengulas hasil pertemuan Idris dengan Abdullah.

Beberapa media dalam talian dan blog tengah hari ini mula meramalkan Ahmad akan kekal sebagai menteri besar.

Blog popular Rocky Bru menyebut, Tuanku Mizan membangkitkan isu penggunaan wang ehsan di negeri itu kepada Perdana Menteri.

Wang ehsan diperkenalkan sewaktu negeri itu ditadbir oleh PAS antara 1999 hingga 2004 selepas wang royalti minyak Petronas ditarik balik dan diuruskan oleh kerajaan Persekutuan.

Abdullah juga dititahkan mengadakan pertemuan dengan Ahmad, lapor penulisnya Ahiruddin Attan.

Sementara laman berita Malaysian Insider melaporkan, pertemuan itu berjalan dengan "mesra".

Abdullah mencadangkan wakil rakyat Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera, sebagai calon ketiga bagi mengatasi perebutan antara Idris dan Ahmad.

Tuanku Mizan, laporan itu dipetik, bagaimanapun bertegas menyokong Ahmad.

Selain penggunaan wang ehsan, Sultan Terengganu juga dilaporkan tidak senang dengan Idris berhubung beberapa isu dan dasar lain, antaranya insiden rusuhan di Batu Buruk pada September tahun lalu.

idris jusoh 01 Semalam Idris menyatakan kesediaannya menghadap Sultan Terengganu - baginda juga Yang di-Pertuan Agong - bagi memohon keampunan Tuanku Mizan.

Di Kuala Terengganu pula, tersebar berita bahawa Abdullah telah bersetuju menerima pelantikan Datuk Ahmad Said selepas perjumpaan mereka petang semalam.

Bagaimanapun perkara belum dapat disahkan, setakat ini.

Pertemuan Ahmad dengan Abdullah semalam berlangsung selama satu jam bermula 5.30 petang di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

ADS