Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Idris, Ahmad berpelukan
Diterbitkan:  Mar 30, 2008 1:19 PM
Dikemaskini: 2:48 PM

kemaskini 8.20pm Bekas menteri besar Terengganu Datuk Idris Jusoh hadir di majlis angkat sumpah penggantinya Datuk Ahmad Said pagi ini.

Kedua-duanya juga berdakapan selepas acara itu - menjelaskan lagi kenyataan Ahmad kelmarin bahawa beliau tidak bermusuh dengan Idris.

Semua 22 wakil-wakil rakyat lain BN, awalnya menentang pelantikan Ahmad, menghadiri majlis angkat sumpah.

Majlis itu diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Krisis pelantikan menteri besar negeri itu mula menunjukkan tanda utama penyelesaian apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno memperakui pelantikan Ahmad yang dilantik istana, sekali gus menolak Idris yang didukung Perdana Menteri.

Upacara turut disaksikan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Shah.

Wakil-wakil rakyat PAS, yang diketuai presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut menghadiri majlis. Abdul Hadi, wakil Rhu Rendang, sebelum ini ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri.

Selepas MT membuat keputusan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN, termasuk Idris, akur dengan arahan perdana menteri agar menerima pelantikan Ahmad.

Ahmad menerima watikah pelantikan daripada MPPR minggu lalu tetapi majlis angkat sumpahnya ditangguh selepas semua wakil BN memulaukan majlis tersebut.

Beliau semalam berkata senarai exco negeri akan dilantik lebih kurang seminggu lagi.

Idris dan Ahmad kemudian berpelukan sekali lagi ketika acara serah tugas di pejabat menteri besar di Wisma Darul Iman selepas majlis angkat sumpah.

Ketika berucap di acara itu, Ahmad memuji Idris sebagai seorang "pemimpin hebat" sejak zaman universiti lagi. Kedua-duanya menuntut di Universiti Sains Malaysia.

"Datuk Seri Idris ialah rakan saya kerana kami sama-sama menuntut di universiti, dia ialah pemimpin anak watan yang hebat dan telah mencorakkan Terengganu. Jasa beliau akan dikenang sampai bila-bila.

"Sebagai sahabat, saya kagum dengan Datuk Seri Idris. Beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa USM dan saya hanya menjadi setiausaha dua tahun kemudian," beliau dipetik sebagai berkata.

Idris kemudian membawa Ahmad ke bilik beliau sewaktu memegang jawatan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha badan perhubungan Umno, Datuk Rosol Wahid, berkata tiada usul undi tidak percaya akan dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap Ahmad.

Beliau berkata krisis pelantikan jawatan itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negeri itu dan ada tanggapan kini sedang wujud perebutan jawatan dalam Umno, lapor Bernama .

"Kita boleh beri jaminan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini, sebab yang mendukung kita sekarang ialah rakyat. Jadi kita nampak, tidak perlu lagi timbul isu-isu yang meresahkan rakyat," beliau dipetik sebagai berkata.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, beliau berkata:

"Jadi saya yakin (persidangan) dewan DUN nanti akan berjalan dengan lancar dan baik kerana matlamat kita adalah rakyat..."

ADS