Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Lim, hati-hati buat kenyataan
Diterbitkan:  Apr 3, 2008 4:36 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana pemimpin DAP itu kini ketua sebuah kerajaan negeri.

"Beliau tak seharusnya cuba meraih populariti," kata Perdana Menteri kepada Bernama selepas pertemuan selama 30 minit dengan Lim, yang juga setiausaha agung DAP di pejabatnya di Putrajaya.

"Saya memberitahu beliau yang kita sedang mengawasi dengan teliti apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang.

"Saya nasihatkan beliau bahawa beliau kini menerajui sebuah kerajaan negeri dan beliau seharusnya berhati-hati ketika membuat kenyataan," kata Abdullah.

lim guan eng Merujuk kenyataan Lim baru-baru ini mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), Abdullah berkata Lim (foto) tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang mengaitkan dasar itu dengan rasuah.

Menurut laporan itu, Abdullah berkata beliau tidak dapat menerima "kenyataan liar" seperti itu kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan salah faham yang sukar dibendung.

Abdullah meminta Lim supaya menghapuskan kemiskinan dan memastikan pertumbuhan ekonomi dinikmati secara adil di negeri itu.

Perdana Menteri berkata beliau juga memberitahu Lim bahawa kerajaan pusat akan memegang pada janji, termasuk melaksanakan beberapa projek besar di Pulau Pinang.

"Semua ini bukannya projek mega atau untuk menunjuk-nunjuk. Ia adalah projek yang mempunyai matlamat khusus berdasarkan keperluan rakyat," katanya.

Mengenai pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang, beliau berkata Petronas tidak akan membiayai projek itu kerana semua perolehan syarikat minyak negara itu diserahkan kepada kerajaan pusat untuk perbelanjaan pembangunan dan subsidi.

Abdullah berkata beliau juga meminta Lim mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi tujuan pembinaan jambatan itu.

ADS