Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SU Umno Pahang letak jawatan
Diterbitkan:  Apr 8, 2008 7:22 PM
Dikemaskini: 4:09 PM

Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, yang menggesa semua ahli Majlis Tertinggi Umno (MT) meletakkan jawatan, berundur daripada menjadi setiausaha badan perhubungan Umno Pahang.

Peletakan jawatan beliau itu berkuatkuasa serta-merta, lapor Bernama .

Ahmad Tajuddin, yang juga ketua bahagian Paya Besar, dilaporkan mengirim surat peletakan jawatan itu melalui faksimili kepada ketua perhubungan Umno negeri Datuk Seri Adnan Yaakob pagi ini.

Semalam, beliau dipanggil oleh Adnan, yang juga menteri besar Pahang, untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataannya minggu lalu.

Dalam kenyataannya, Ahmad Tajuddin menggesa ahli-ahli MT meletak jawatan sejajar dengan Fasal 9.11 Perlembagaan Umno susulan kekalahan terus parti dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Fasal tersebut menyebut, jika semua ahli MT berhenti serentak, pengerusi tetap atau timbalannya perlu mengadakan perhimpunan agung khas bagi menubuhkan semula MT dalam tempoh tidak lebih daripada 60 hari.

pas pahang members joining umno Menurutnya, gesaan itu dilakukan berikutan kegagalan pucuk pimpinan Umno dan ahli MT mempertahankan empat daripada lima negeri yang kini berada di tangan pembangkang pada pilihanraya lalu.

Difahamkan, Adnan akan merujuk kes tersebut kepada presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum sebarang tindakan diambil ke atas Ahmad Tajuddin berhubung kenyataannya itu.

Menurut agensi berita itu lagi, Ahmad Tajuddin berkata tiada sebarang respon diterima setakat ini daripada Adnan berhubung keputusannya itu.

Beliau berkata peletakan jawatannya itu sejajar dengan gesaannya agar anggota MT Umno bertanggungjawab terhadap pencapaian buruk parti itu.

"Saya merupakan pemimpin rantaian daripada MT sedia ada, jadi biarlah saya bertanggungjawab dengan meletak jawatan dulu," beliau dipetik sebagai berkata pada sidang akhbar di Kuantan, hari ini.

Ahmad Tajuddin, yang memegang jawatan itu sejak 1999, berkata peletakan jawatannya juga tidak didorong oleh tekanan pihak lain dan juga bukan kecewa selepas tidak terpilih sebagai calon pada pilihanraya umum ke-12.

ADS