Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 11:45pm Kira-kira 20,000 penyokong pembangkang, khususnya PKR, menyertai perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam ini walaupun polis tidak menyediakan permit.

Program yang digelar "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik terhadap penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 12 Selepas muncul pada 9.15 malam, Anwar menyampaikan ceramah lebih satu jam sebelum polis mengeluarkan larangan.

Menurutnya, polis meminta program itu dihentikan kerana jumlah orang ramai semakin besar daripada jangkaan awal, kira-kira 10,000 orang.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, tunggu dua minggu sebelum beliau mengumumkan sama ada akan bertanding atau tidak dalam satu pilihanraya kecil.

Pada pilihanraya umum 8 Mac, Anwar hanya berkempen di seluruh negara akibat larangan tersebut dan mantan timbalan perdana menteri itu mendakwa ia diadakan bagi menghalang beliau bertanding.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Anwar berkata sambutan tadi "di luar jangkaan."

Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar malam ini pada awalnya dijangka disertai 10,000 penyokongnya.

Anwar juga mengulangi kenyataannya bahawa gabungan pembangkang bersedia memerintah Malaysia apabila mendapat jumlah ahli-ahli parlimen BN secukupnya untuk melompat ke pakatan itu.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 19 Tambahnya, jumlah itu - 30 lagi untuk mendapat majoriti dua pertiga - sudah cukup tetapi beliau ingin mendapatkan bilangan yang lebih besar bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang benar-benar stabil.

Pakatan Rakyat kini memperolehi 82 kerusi Dewan Rakyat, sementara BN pula 140. Sidang pertama dewan bermula 28 April ini.

'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Laungan "Reformasi", yang menjadi slogan penyokongnya sejak beliau dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998, dan "suara rakyat, suara keramat" hari ini kembali memecahkan keheningan malam di tengah-tengah ibu kota.

Laungan ini sering menggamat jalan-jalan ibu kota, termasuk Kampung Baru, sejak September sedekad lalu hinggalah 2001 - sebelum tangkapan 10 aktivis gerakan itu dan pemimpin PKR bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman semalam berkata PKR tidak memohon permit untuk perhimpunan tersebut.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 21 Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah - termasuk menganjurkan perhimpunan persatuan-persatuan Melayu untuk menubuhkan Umno pada 1946 - kini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selaku menteri besar baru negeri Selangor.

Menurut Muhammad Sabtu, walaupun majlis makan malam anjuran PKR di buat di tempat persendirian, polis tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.

Ketika berceramah malam ini, Anwar menggesa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjalankan siasatan terbuka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu mengetuai kerajaan selama 22 tahun.

anwar ibrahim april 14 kg baru event 150408 16 Anwar menuduh Dr Mahathir merosakkan sistem kehakiman, menyalahgunakan kuasa dan menyelewengkan dana awam, termasuk untuk anak-anaknya.

"Siapa yang singkir Tun Salleh Abbas? Siapa yang melantik hakim correct, correct, correct ? Siapa yang lantik hakim gula-gula Hacks yang menghukum (penjara) saya?" katanya.

Perkataan "correct" (betul) sebanyak tiga kali itu merujuk rakaman kontroversi video peguam VK Lingam yang didedahkannya tahun lalu, sementara "hakim gula-gula Hacks" itu pula Datuk Augustine Paul Sinnappen, kini hakim Mahkamah Persekutuan.

Mengenai timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Anwar mendakwa timbalan presiden Umno itu terlibat dalam penyelewengan kontrak pertahanan kira-kira RM500 juta.

Beliau juga mendakwa Dr Mahathir mahu Najib menggantikan Abdullah bagi meneruskan warisan pentadbirannya dan sebagai satu percubaan menghalangnya (Anwar) menjadi perdana menteri.

ADS