Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mempertahankan jawatan presiden Umno pada pemilihan parti 16-20 Disember ini.

"Mereka (pemimpin Umno) kata mereka serahkan kepada saya dan mereka akan menyokong saya dan timbalan saya dalam pemilihan parti," katanya, mengulas desakan agar peralihan parti disegerakan.

"Kenapa saya tidak boleh bertanding dalam pemilihan parti?"

"Selepas itu, Pak Lah dan Najib akan putuskan tentang peralihan kuasa," katanya lagi selepas majlis perjumpaan bersama ahli parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) dan senator BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Perdana menteri juga mengingatkan wakil-wakil rakyat BN agar tidak membangkitkan isu-isu sensitif di sidang dewan sehingga boleh didakwa bawah Akta Hasutan.

"Kerana Akta Hasutan boleh dikuatkuasakan dalam Dewan Rakyat ... Akta Hasutan boleh dipakai juga di dalam Dewan Rakyat.

"Mereka tidak dibebaskan untuk bercakap apa juga yang melanggar Akta ini," katanya.

Mengulas beberapa anggota dewan yang mengeluarkan kata-kata yang tidak sewajarnya seperti pada penggal lalu, beliau berkata perkataan seumpama itu tidak akan dituturkan jika mereka memahami peraturan mesyuarat.

"Mereka yang mengeluarkan perkataan-perkataan itu pun ditegur oleh Speaker.

"Jangan cakap ikut (mulut) sahaja, menunggu Speaker menegur dulu baru berhenti. Tak payah tunggu Speaker tegur, jangan cakap perkara-perkara yang menyebabkan Speaker menegur," katanya.

Semua wakil rakyat BN dipesan agar berlagak angkuh, sombong atau menerima rasuah.

"Di peringkat kawasan pula, ahli DUN dan ahli Dewan Rakyat perlu tahu betapa pentingnya mereka bekerja dengan kuat sebagai wakil rakyat dengan penuh dedikasi, menjaga diri supaya tidak menjadi orang yang sombong, angkuh ataupun rasuah.

"Label-label seperti ini diharap tidak dilekatkan kepada wakil-wakil rakyat BN," kata Abdullah.

Beliau juga meminta wakil rakyat BN memantau projek-projek kerajaan pusat dan jika ada yang tergendala, ia hendaklah dilaporkan kepada menteri terbabit untuk tindakan susulan.

Pengerusi BN juga berkata semua wakil rakyat parti itu harus berkhidmat untuk kepentingan semua kaum dan bukan penyokong parti masing-masing sahaja.

ADS