Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ka Chuan mesti pohon maaf
Diterbitkan:  Apr 15, 2008 5:29 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Pengerusi MCA Perak, Datuk Ong Ka Chuan mesti memohon maaf kepada semua ahli MCA kerana prestasi buruk parti itu dan kekalahan kerajaan BN Perak dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kata timbalan pengerusi MCA Ipoh Timur, Datuk Thong Fah Chong.

Lebih penting lagi, katanya, Ong yang juga setiausaha agung MCA mesti memohon maaf kerana bertanggungjawab memupuk budaya 'pak turut' dalam parti tersebut, dan meminggirkan ahli-ahli yang lantang bersuara.

thong fah chong 02 Sebaliknya, kata Thong (foto), Ong telah memberi tempat kepada mereka yang tidak berpengalaman, yang didakwa Ong lebih komited daripada ahli-ahli parti yang lain.

"Beliau harus berasa bersalah kerana membiarkan wujudkan budaya birokrasi dalam MCA dalam abad ke-21 ini.

"Beliau juga harus memohon maaf kepada setiap ahli MCA kerana pengurusan parti yang tiada halatuju dan ketinggalan zaman," kata Thong dalam satu kenyataan kelmarin.

Thong adalah antara pendukung utama 'Kempen Selamatkan MCA" yang dilancarkan di Ipoh awal bulan ini.

ong ka chuan Katanya, ini memandangkan Ong (foto) telah menjadi setiausaha organisasi parti selama 15 tahun dan menjadi setiausaha agung MCA sejak 2005.

'Saya tidak berdendam'

"Hasil (kepimpinannya) adalah cukup jelas, sepertimana yang telah disuarakan oleh rakyat (dalam pilihanraya umum lalu)," tegas Thong lagi.

Katanya, beliau menyokong usaha untuk meningkatkan penyertaan golongan muda dalam politik dan dalam MCA.

Bagaimanapun, katanya, ianya tidak memberi manfaat kepada parti apabila golongan profesional yang tidak berpengalaman, dilantik ke jawatan penting parti sedangkan komitmen dan keikhlasan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat belum teruji.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya tidak berdendam terhadap sesiapa pun kerana tidak dipilih bertanding dalam pilihanraya.

"Saya pohon supaya menteri (perumahan dan kerajaan tempatan) melihat isu sebenar dan mengakui bahawa cara pecah dan perintah, dwi-standard dan secara keras dalam mentadbir MCA Perak selama ini, telah mengakibatkan kekalahan parti," katanya.

Menurut Thong, sudah tiba masanya untuk berubah dan masa untuk melangkah ke jalan yang lebih baik untuk masa depan parti.

ong ka ting 02 "Juga, sejak 8 Mac, (presiden parti) Datuk Seri Ong Ka Ting (foto) telah beberapa kali mencabar sesiapa sahaja yang merasakan lebih baik daripada beliau, untuk bertanding dan tampil ke depan dan beliau sedia melepaskan jawatannya.

Pikul tanggungjawab

"Seorang jeneral yang mengetuai bala tenteranya yang kalah perang mesti bertanggungjawab di atas strateginya yang tidak bijak, dan bukannya mencetuskan ketegangan dalam kemnya sendiri," kata Thong.

MCA, tambahnya, kini dalam keadaan berceramuk dan moral ahli-ahli juga amat rendah.

"Jika beliau benar-benar ikhlas, tindakan terhormat yang sepatutnya dilakukan oleh Datuk Seri Ong Ka Ting, ialah memikul tanggungjawab di atas kesilapannya dan membolehkan munculnya MCA yang baru.

"Saya tidak tahu sama ada beliau akan dicabar dalam pemilihan parti yang akan datang, tetapi presiden telah memberi kata dua kepada para pengkritiknya, memberi gambaran seolah-olah MCA tidak mempunyai tokoh yang berkemampuan untuk mengganti (beliau) dan menghalang usaha untuk parti memulakan langkah baru," katanya.

Menurut Thong, beliau dan rakan-rakan yang sehaluan dengannya mahu menggunakan hak demokratik mereka untuk bersuara dan mewujudkan kepimpinan parti yang dinamik, pragmatik dan kuat, supaya MCA tidak menjadi semakin teruk.

ADS